RANCANGAN Singapura untuk memperluaskan rangkaian relnya sebanyak lebih 50 peratus akan ditunda akibat kesan Covid-19. Tetapi ia masih mahu mencapai sasaran itu pada awal 2030-an, kata Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan pada Isnin (22 Jun) di acara di Depoh Bishan untuk memulakan penghentian penggunaan kereta api MRT pertama Singapura, menurut laporan The Straits Times. "Akan ada beberapa kelewatan kerana kesan yang disebabkan oleh Covid terhadap ketersediaan pekerja binaan," katanya, tanpa memberi butiran lanjut tentang tempoh kelewatan. "Tetapi hasrat memperluaskan rangkaian MRT kita dengan ketara tetap tidak berubah." Rangkaian rel Singapura sekarang sepanjang sekitar 230 kilometer. Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) berkata ia mahu memperluas rangkaian kereta api menjadi sekitar 360 kilometer menjelang 2030, yang akan menghubungkan lapan dalam 10 isi rumah ke sebuah stesen MRT dalam 10 minit. Laluan kereta api yang akan disiapkan pada dekad akan datang termasuk baki fasa Laluan Thomson-East Coast, Laluan Daerah Jurong dan bahagian pertama Laluan Rentas Pulau. Tahap 2 Laluan Thomson-East Coast dijangka siap hujung tahun ini. Ia akan menghubungkan Woodlands ke Caldecott melalui Mayflower. Laluan Circle, Laluan Downtown dan Laluan Timur Laut juga akan mendapat stesen tambahan dalam dekad berikutnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg