Rangkaian yang menggabungkan individu dan kemahiran pelbagai sektor untuk bertindak terhadap isu-isu yang dihadapi warga Singapura akan dibentuk.
Usaha 'Rangkaian Bertindak Singapura Bersama' merupakan sebahagian daripada pendekatan pentadbiran Singapura Bersama yang menekankan kerjasama semua sektor- pemerintah, perniagaan dan masyarakat- dalam membentuk negara.
Pembentukan rangkaian tersebut diumumkan Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat dalam siaran nasionalnya Sabtu.
"Kami akan menjalin kerjasama baru berkaitan isu-isu yang anda titikberatkan dan mengubah keadaan dengan bertindak," kata Encik Heng dalam ucapan bahasa Melayunya.
Antara contoh rangkaian yang telah dibentuk pemerintah berdasarkan isu-isu tertentu termasuk Pasukan Bertindak bagi Peningkatan Pelajar dalam Kehidupan dan Memberi Inspirasi kepada Keluarga (UPLIFT), Rangkaian Masyarakat SG Cares, dan Rangkaian Kesejahteraan Mental Anda. Jumlah rangkaian serta individu atau pertubuhan yang terlibat dalam satu-satu rangkaian tersebut adalah berdasarkan isu-isu yang timbul melalui perbincangan yang akan diadakan.
Siri Perbincangan Bangkit Lebih Kukuh telah dimulakan sebagai wadah untuk warga Singapura berkongsi pengalaman Covid mereka.
Siri yang melibatkan warga Singapura pelbagai latar belakang itu juga bertujuan untuk meneroka aspirasi serta tindakan untuk membentuk masyarakat Singapura pasca Covid-19 yang berdaya tahan.
Sesi-sesi ini akan dikendalikan dalam talian buat ketika ini.
Warga Singapura juga diminta berkongsi pengalaman dan aspirasi mereka melalui lama Singapura Bersama www.singaporetogether.gov.sg/reflect.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg