SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Rawat rindu keluarga di Johor lewat telefon dek ingin cari rezeki lama di SG

Rawat rindu keluarga di Johor lewat telefon dek ingin cari rezeki lama di SG

Jun 7, 2021 | 5:30 AM

Rawat rindu keluarga di Johor lewat telefon dek ingin cari rezeki lama di SG

ANAK lelaki Encik Muhd Hafizuddin Ismail berusia empat tahun berdoa setiap hari agar beliau, yang bekerja di Singapura, dapat pulang menjenguk keluarganya di Ulu Tiram, Johor.

Hampir setahun mereka tidak berjumpa disebabkan pandemik Covid-19.

Menurut Encik Hafizuddin, 30 tahun, doa itu juga dibacakan anaknya setiap hari apabila mereka 'bertemu' di alam maya menerusi panggilan video.

Teknisyen farmasi bersama Raffles Medical Group di Terminal 3, Lapangan Terbang Changi itu tidak dapat pulang ke Johor sejak Julai tahun lalu.

Beliau, yang bekerja di Singapura sejak lima tahun lalu, sempat pulang ke Johor sehari sebelum perintah kawalan pergerakan (PKP) di laksana di Malaysia pada 18 Mac tahun lalu.

Apabila PKP dilaksana, beliau 'terkandas' di Johor lebih tiga bulan sebelum dibenarkan masuk semula ke Singapura pada Julai tahun lalu.

Menurut Encik Hafizuddin, sebelum itu majikannya memohon dua kali untuk beliau masuk lebih awal tetapi ditolak pihak berkuasa di sini.

Anak kelahiran Pulau Pinang itu berkata selama setahun sejak kembali ke sini beliau menahan rasa rindu terhadap isteri dan dua anak kecilnya, yang berusia empat tahun dan enam bulan.

"Sekarang saya hanya menyimpan cuti dan wang untuk pulang apabila keadaan kembali sediakala. Saya berharap agar kes Covid-19 terus menurun untuk kebaikan bersama,'' ujarnya.

Encik Hafizuddin kini bertugas di Terminal 3 menguruskan pendaftaran orang menjalani ujian swab disitu. Dalam sehari beliau mengendalikan lebih 300 orang menjalani ujian.

"Saya kerap mencuci tangan dan menjaga diri. Apabila pulang ke rumah, terus mandi supaya kekal bersih, menjaga kesihatan diri.

"Saya juga telah mendapat dua dos penuh vaksin Covid-19 di Singapura, lebih awal kerana bekerja di Terminal 3," ujarnya.

Beliau, yang menyewa bilik di Ang Mo Kio pada kadar sewa $350 sebulan, berkata sebelum PKP, beliau berulang-alik menaiki motosikal antara Ulu Tiram dan Singapura setiap hari.

Beliau pergi ke kerja menaiki motosikalnya.

Lulusan diploma bidang farmasi Kolej Antarabangsa dan Teknologi Perlis itu bekerja kilang selama dua tahun di Pulau Pinang sebelum datang ke Singapura.

Bapa mentuanya, yang bekerja di Singapura sebagai drebar bas Tower Transit, memberitahunya mengenai peluang pekerjaan di sini.

"Sekarang, bapa mentua saya pula terkandas di Ulu Tiram untuk uruskan perkawinan adik ipar saya. Dia balik sebelum Hari Raya.

"Bapa mentua sayalah yang menjenguk isteri dan akan-anak saya di Ulu Tiram. Hari Raya lalu kami hanya bertemu di alam maya,'' katanya, sayu.

Encik Hafizuddin berkata memang terlintas di hatinya untuk pulang ke Ulu Tiram, tetapi kos menjalani kuarantin di Malaysia selama tiga minggu dan di Singapura apabila pulang ke sini berjumlah sekitar RM12,000 ($3,850).

"Melihat jumlah kos itu dan cuti kuarantin yang perlu diambil hingga lima minggu, ia memang tidak praktikal.

"Saya akan terus bertahan di Singapura dan merancang bekerja lama di sini,'' ujar Encik Hafizuddin, pemegang permit kerja yang diperbaharui setiap dua tahun.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg