Topik diikuti
Pergi ke BHkuRemaja 19 tahun didakwa bunuh bapa di Yishun
Remaja 19 tahun didakwa bunuh bapa di Yishun
SEORANG remaja berusia 19 tahun didakwa membunuh bapanya Isnin lalu dalam satu kejadian yang berlaku di kediaman mereka di Blok 653 Yishun Avenue 4.
Sylesnar Seah Jie Kai dituduh membunuh Encik Eddie Seah Wee Teck, berusia 47 tahun, di antara tingkat empat dan lima blok itu.
Remaja itu hadir di mahkamah menerusi pautan video kira-kira pukul 10 pagi semalam dengan memakai kemeja-T polo dan pelitup muka biru.
Dia menundukkan kepalanya semasa prosiding.
Polis meminta agar dia direman di Polis Divisyen Central untuk disiasat, dan agar dia dibawa keluar untuk membantu proses siasatan.
Hakim Encik Terence Tay bersetuju untuk Sylesnar, yang diwakili peguam Encik Sunil Sudheesan dan Cik Joyce Khoo daripada firma guaman Quahe Woo and Palmer, untuk direman selama dua hari.
Semalam, Encik Sudheesan memohon akses tanpa had kepada Sylesnar, untuk bercakap dengannya mengenai kes dan membantunya dengan permohonan.
Sylesnar akan hadir sekali lagi di mahkamah hari ini.
Rekod perniagaan menyenaraikan mangsa dan isterinya sebagai rakan kongsi dalam perniagaan yang berurusan dalam jual, beli dan sewa hartanah.
Pasangan itu, yang telah berkahwin sejak 1994, mempunyai dua anak lelaki dan seorang anak perempuan. Keluarga itu tinggal di sebuah unit di tingkat lima.
Sylesnar dipercayai adalah anak bongsu mereka.
Jiran-jiran masih tidak percaya apabila akhbar The Straits Times (ST) melawat blok itu sehari selepas kejadian berlaku.
Seorang penduduk berkata dia melihat mangsa dengan muka dan pakaiannya berlumuran darah sebelum rebah di atas lantai.
Polis berkata mereka menerima panggilan meminta bantuan pada pukul 7.05 malam, namun apabila pegawai sampai ke lokasi kejadian, mereka mendapati mangsa terbaring di luar sebuah unit kediaman.
Dia disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik, dan Sylesnar ditangkap di tempat kejadian.
Sesiapa yang disabitkan dengan pembunuhan menghadapi hukuman mati.