Topic followed successfully
Go to BHkuRuang ujian dron dilancar bagi kegunaan sektor maritim
Ruang ujian dron dilancar bagi kegunaan sektor maritim
Ruang ujian dron dilancar bagi kegunaan sektor maritim
SEBUAH kawasan berhampiran Marina South Pier telah diperuntuk sebagai ruang untuk menguji dron bagi kegunaan sektor maritim.
Ini termasuk menguji dron untuk menghantar bahagian kapal kepada kapal yang berada berhampiran pantai Singapura.
Estet Dron Maritim itu - yang pertama di Singapura - dilancarkan sempena Minggu Maritim Singapura minggu ini dan membolehkan Singapura menyertai negara-negara lain seperti Belgium dan Canada yang juga telah menggunakan dron bagi khidmat penghantaran yang sebelum ini dilakukan oleh manusia.
Pihak berkepentingan dalam industri berkata cara baru itu lebih selamat bagi pekerja yang tidak lagi perlu menaiki anak tangga curam untuk menghantar barang atau melakukan pemeriksaan di kapal-kapal.
Menggunakan dron juga menambah keberkesanan proses dan menjadikan tugasan tersebut lebih berdaya tahan.
Sebagai contoh, bot kecil yang sebelum ini digunakan untuk membuat penghantaran dari darat ke kapal di perairan Singapura mengambil masa berulang-alik hampir sejam.
Sebaliknya, dron boleh melaksanakan tugasan yang sama dalam masa kurang 15 minit dan menjimatkan kos bahan api dan mengurangkan pencemaran udara.
Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar merangkap Pengangkutan) Chee Hong Tat berkata:
"Lokasi estet dron di Marina South amat sesuai kerana ia bersebelahan perairan di pelabuhan dan juga dekat dengan tempat kapal didok yang digunakan ribuan kapal setiap tahun."
Sebanyak 11 syarikat, termasuk Airbus, Garuda Robotics, ST Engineering dan M1 hadir di acara pelancaran kelmarin.
Buat masa ini, sembilan syarikat telah mengadakan penerbangan ujian di estet dron itu.
Semasa pandemik, vitamin dan makanan dihantar oleh dron kepada kru di kapal yang jadualnya terjejas.
Semua dron yang berangkat dari estet dron itu akan dikawal dan dipantau menggunakan sistem trafik yang dibangun oleh Nova System.
Sistem trafik itu membenarkan beberapa dron berlepas secara serentak ke ruang udara yang sama.
Pengarah urusah (Asia) Encik Ryan Lee berkata ujian melibatkan sehingga tiga simulasi penerbangan telah dijalankan, dan sofwe Nova System boleh menjejak 500 dron dalam sekitaran simulasi itu.
Syarikat-syarikat dalam industri itu berharap ruang tetap yang lebih besar akan diperuntuk bagi usaha ini, juga di Marina South Pier.
Usulan kumpulan itu sedang menanti kelulusan pihak berkuasa.
"Lokasi estet dron di Marina South amat sesuai kerana ia bersebelahan perairan di pelabuhan dan juga dekat dengan tempat kapal didok yang digunakan ribuan kapal setiap tahun." - Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar merangkap Pengangkutan) Chee Hong Tat.

