Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) akan mengerahkan aset untuk menghantar bantuan kemanusiaan kepada mangsa yang terjejas akibat taufan Yagi di Laos, Myanmar dan Vietnam.
Dalam satu kenyataan pada 18 September, Kementerian Pertahanan (Mindef) berkata ia akan mengerahkan Pesawat Tangki dan Pengangkut Berbilang Fungsi A330 dan pesawat pengangkut C-130 milik Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) untuk menghantar bekalan sedemikian.
Bekalan bantuan yang akan dikirim termasuk selimut, kit kebersihan, penapis air, bekas air yang boleh dilipat dan pek makanan.
Sebagai tambahan kepada bekalan SAF sedia ada, Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan dan Bencana Serantau Changi (RHCC) telah mengumpulkan bekalan melalui rakan kongsi pertubuhan bukan pemerintah (NGO) termasuk Caritas Singapore, Humanity Matters, Palang Merah Singapura, Relief Singapore, serta Pusat Penyelaras Asean untuk Bantuan Kemanusiaan Mengenai Pengurusan Bencana (AHA Centre).
Pengarah RHCC, Kolonel Fredie Tan, menekankan kepentingan kerjasama serantau antara tentera dengan orang awam sebagai tindak balas terhadap operasi bantuan kemanusiaan dan bencana.
“RHCC dan SAF bersedia dan komited untuk menyokong usaha bantuan kemanusiaan dan bantuan bencana serantau dan membawa bantuan yang amat diperlukan kepada komuniti yang terjejas di negara jiran kita.
“Kami akan terus bekerjasama rapat dengan rakan kongsi antara orang awam dengan tentera seperti NGO tempatan dan serantau, serta AHA Centre,” ujarnya.
Ini sedang taufan tersebut membadai beberapa negara Asean, bermula dengan Filipina pada 2 September.
Ia kemudian membadai Laos, utara Thailand dan Vietnam sebelum melanda Myanmar.
Menurut laporan media tempatan Myanmar, taufan Yagi telah meragut nyawa 226 orang dan lebih 70 dilaporkan hilang.
Laporan tersebut menambah hampir 260,000 hektar sawah padi dan tanaman lain turut dilaporkan musnah oleh banjir disebabkan taufan itu.
Hampir 300 orang maut di Vietnam, manakala 42 orang di Thailand serta empat di Laos juga maut dek taufan tersebut, kata AHA Centre.
Di Laos, pihak berkuasa sedang menjalankan operasi menyelamat untuk membantu orang ramai yang terkandas akibat banjir selepas taufan itu membawa hujan lebat ke negara itu, kata media tempatan.
Vietnam juga sedang bersiap sedia untuk banjir lebih besar setelah ramalan menunjukkan ribut yang bakal melanda pantai tengahnya susulan taufan Yagi, yang mencetuskan banjir serta tanah runtuh.
Laporan itu menambah ribut itu dijangka menyebabkan hujan lebat di kawasan tengah Vietnam seperti Danang seawal 19 atau 20 September.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg