Topik diikuti
Pergi ke BHkuSambut Hari Ibu, waspada cegah wabak
Sambut Hari Ibu, waspada cegah wabak
LANGKAH pengurusan selamat lebih ketat tidak mematahkan semangat orang ramai yang tetap menyambut Hari Ibu, walaupun dengan lebih berhati-hati.
Masyarakat Singapura melahirkan penghargaan mereka terhadap ibu tersayang menerusi media sosial, dengan pos-pos yang menyentuh hati.
Dalam catatannya, Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata kaum ibu adalah wira harian kita, yang selalunya mengutamakan keluarga terdahulu daripada diri mereka sendiri.
"Kini sudah lebih setahun sekarang, ibu-ibu harus menangani gangguan yang disebabkan oleh pandemik Covid-19 dan mengimbangi berbilang peranan sebagai penjaga, guru dan tukang masak, di samping pekerjaan harian mereka.
"Sambutan (Hari Ibu) tahun ini sekali lagi akan berbeza, tetapi saya yakin yang anda akan mencari cara untuk menunjukkan penghargaan anda terhadap ibu anda.
"Dalam kita menyambut hari ini, marilah kita ingat mereka yang tidak dapat berbuat demikian, seperti jururawat dan pekerja barisan hadapan lain yang terus berusaha melawat Covid-19.
"Usaha anda amat dihargai," ujar Encik Lee sambil mengucapkan Selamat Hari Ibu kepada semua ibu dan bakal menjadi ibu dalam catatannya di Facebook itu.
Sementara itu, merakamkan penghargaannya kepada ibunya, Menteri di Pejabat Perdana Menteri dan Menteri Kedua Kewangan, Cik Indranee Rajah yang memuat naik gambar bersama ibunya, menulis dalam catatan di Facebook berkata:
"Inilah ibu saya yang hebat. Beliau menyambut ulang tahun yang ke-98 pada Mac lalu.
"Beliau telah menyaksikan begitu banyak peristiwa sepanjang hayatnya - Perang Dunia Kedua (beliau merupakan seorang jururawat di Hospital Besar Singapura (SGH) apabila bom diletupkan di sana), tempoh Darurat, Konfrontasi dan perjalanan Singapura beralih dari Dunia Ketiga ke Dunia Pertama.
"Selama itu, beliau membesarkan kami tiga beradik sendirian, apabila ayah saya meninggal dunia semasa saya berusia lima tahun.
"Kita tidak dapat membalas ibu-ibu kita di atas semua pengorbanan yang mereka lakukan untuk kita.
"Namun kita boleh mengambil masa untuk menunjukkan kepada mereka betapa bermakna mereka bagi kita," ujar beliau yang menyambut hari istimewa itu dengan ibunya walaupun di tengah-tengah kesibukan membuat persiapan untuk sidang Parlimen hari ini.
Dalam laporan Berita Harian baru-baru ini, para pemilik kedai makanan dan minuman telah menyaksikan kadar pembatalan tempahan yang tinggi, sehingga 60 peratus, ekoran langkah sekatan lebih ketat.
Kini orang ramai hanya boleh berkumpul secara sosial dalam lima orang, berbanding lapan orang sebelum ini.
Hasilnya, peniaga menyaksikan tempahan penghantaran makanan meningkat kerana lebih ramai pelanggan, terutama keluarga besar, memilih untuk makan di rumah.