Topic followed successfully
Go to BHkuSebahagian besar kematian pejalan kaki libatkan warga tua
Sebahagian besar kematian pejalan kaki libatkan warga tua
Sebahagian besar kematian pejalan kaki libatkan warga tua
SEBANYAK 15 daripada 18 kematian pejalan kaki tahun lalu melibatkan warga tua berusia 60 tahun ke atas.
Golongan ini merangkumi lebih 80 peratus daripada jumlah keseluruhan kematian pejalan kaki, naik berbanding hampir 70 peratus pada 2019.
Setengah daripada keseluruhan jumlah kematian pejalan kaki melibatkan warga tua adalah akibat melintas jalan sembarangan, menurut polis semalam dalam laporan tahunan keadaan trafik jalan rayanya.
"Saya rasa mereka adalah kumpulan yang sangat rentan sebab semakin mereka berusia, refleks mereka menjadi lebih lembap," kata pegawai pemerintah cawangan keselamatan jalan raya polis trafik, Encik Jimmy Law.
"(Melalui usaha penglibatan kami), kami berharap untuk meyakinkan mereka agar menggunakan laluan lintas, sebagai contoh, berbanding berlari melintas jalan," tambahnya.
Jumlah keseluruhan kemalangan trafik, bagaimanapun, merosot tahun lalu.
Ini sebahagian besarnya disebabkan keadaan trafik di jalan raya yang kurang sibuk semasa pandemik Covid-19, lapor The Straits Times.
Jumlah kematian merosot kepada rekod serendah 85 orang, jatuh 28 peratus berbanding 118 orang pada 2019.
Kemalangan yang menyebabkan kecederaan juga merosot sebanyak 29 peratus kepada 5,473 kes, jatuh daripada 7,705 kes pada 2019.
Namun, jumlah kenderaan yang berkurangan di jalan raya telah menyebabkan lebih ramai pemandu memecut melebihi had kelajuan yang ditetapkan.
Tahun lalu, terdapat 758 kemalangan yang berkaitan kelajuan dilaporkan - naik 3.1 peratus - berbanding 735 kes pada tahun sebelumnya.
"Kamera kelajuan ditempatkan di serata pulau dengan papan tanda peringatan yang jelas untuk memberi amaran kepada pemandu tentang kamera tersebut dan mengingatkan mereka untuk mengurangkan kelajuan," kata polis.
"Polis trafik juga bekerjasama dengan Penguasa Pengangkutan Darat untuk memaparkan mesej di papan elektronik mereka di sepanjang ekspreswe dan jalan raya utama untuk mengingatkan pemandu agar tidak memandu laju," tambah polis.
Jumlah pemandu yang melanggar lampu merah juga merosot tahun lalu, berkurangan sebanyak 16.4 peratus kepada 50,725 kes berbanding 60,693 kes pada 2019.
Kemalangan melibatkan penunggang motosikal merangkumi lebih 63 peratus kemalangan yang mengakibatkan maut.
Penutupan sementara pusat hiburan malam seperti kelab malam dan bar yang merupakan sebahagian langkah untuk mengekang penularan Covid-19 mungkin juga telah menyumbang kepada kemerosotan kes memandu semasa mabuk.
Polis berkata penangkapan pemandu mabuk merosot 24.2 peratus, dengan 1,507 pemandu ditahan tahun lalu berbanding 1,987 pada tahun sebelumnya.
Namun, jumlah kematian akibat memandu semasa mabuk meningkat.
Terdapat 13 kematian dilaporkan tahun lalu, berbanding tujuh kes pada 2019.
"Polis menerapkan sikap tegas terhadap tingkah laku minum minuman keras yang tidak bertanggungjawab.
"Sekiranya berlaku kecederaan parah atau kematian, pemandu boleh dikenakan hukuman penjara dan hilang lesen memandu mereka," kata polis lagi.
SEKILAS LAPORAN TAHUNAN KEADAAN TRAFIK JALAN RAYA PASUKAN POLIS SINGAPURA 2020
- Warga tua merangkumi 80 peratus kematian akibat kemalangan melibatkan pejalan kaki pada 2020
- Penunggang motosikal merangkumi lebih 63 peratus kemalangan mengakibatkan maut pada 2020
- Kemalangan mengakibatkan maut berkurangan 28 peratus:
2019: 118
2020: 85
- Kemalangan mengakibatkan kecederaan berkurangan 29 peratus:
2019: 7,705
2020: 5,473
- Kemalangan berkaitan memecut naik 3.1 peratus
2019: 735
2020: 758
- Kesalahan melanggar lampu merah berkurangan 16.4 peratus
2019: 60,693
2020: 50,725
- Tahanan pemandu mabuk berkurangan 24.2 peratus
2019: 1,987
2020: 1,507

