Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sedutan ucapan PM Lee Hsien Loong tentang langkah atasi Covid-19

Apr 21, 2020 | 5:37 PM
MEMBERIKAN PERKEMBANGAN TERKINI: Perdana Menteri Encik Lee Hsien Loong berucap pada 5 petang tadi berkenaan langkah-langkah pemerintah menangani penularan Covid-19 di sini.
MEMBERIKAN PERKEMBANGAN TERKINI: Perdana Menteri Encik Lee Hsien Loong berucap pada 5 petang tadi berkenaan langkah-langkah pemerintah menangani penularan Covid-19 di sini. - Fail

[Terjemahan dari Bahasa Inggeris] Saudara-saudari sekalian, saya ingin menjelaskan kepada anda sekali lagi mengenai perkembangan keadaan COVID-19. Sudah masuk dua minggu kita menjalani langkah pemutus rantaian jangkitan Covid-19.

Secara keseluruhannya, rakyat Singapura telah dapat menyesuaikan diri Ramai yang telah memainkan peranan kita, dengan duduk di rumah, dan mematuhi arahan. Kita telah menyesuaikan diri dengan bekerja dari rumah dan melakukan pembelajaran di rumah.

Apabila di luar rumah, kita memakai pelitup dan memastikan jarak selamat. Kita menghadkan pergaulan kepada anggota keluarga yang tinggal serumah dan mengelakkan berkumpul dengan anggota keluarga lain dan rakan-rakan.

Jumlah kes baru di kalangan masyarakat setempat merosot ke paras kurang 30 kes sehari. Ini adalah hasil langkah pemutus rantaian jangkitan, dan gandingan usaha semua orang.

Namun seperti yang anda ketahui, jumlah keseluruhan kes baru terus meningkat dengan tinggi sejak saya bercakap dengan anda hanya sepuluh hari yang lalu. Hari ini, kita mencatatkan lebih 1,100 kes baru. Hampir kesemua kes baru telah dikenal pasti di dormitori-dormitori pekerja asing, melalui ujian yang lebih agresif.

Jumlah kes yang tinggi di dormitori pekerja asing adalah satu masalah yang serius.

Kami telah melancarkan ujian yang lebih agresif di kalangan mereka yang tinggal di dormitori untuk menilai keadaan di sana. Bukan sahaja mereka yang melaporkan bahawa mereka sakit, atau menunjukkan simptom-simptom demam atau selesema.

Tetapi juga mereka yang sihat dan tidak menunjukkan sebarang simptom. Hampir semua pekerja asing yang dijangkiti hanya menunjukkan simptom-simptom yang ringan. Ini tidak menghairankan kerana rata-rata pekerja asing kita masih muda, oleh itu kemungkinan mereka mengalami sakit yang serius akibat jangkitan Covid-19 adalah rendah.

Para doktor, jururawat dan kakitangan penjagaan kesihatan kita juga sedang bekerja dengan lebih keras, mengasingkan pesakit di peringkat awal, dan menjaga mereka dengan baik. Kemajuan yang kita lihat masih di peringkat awal, tetapi kita bersyukur bahawa di kalangan kes-kes baru berkaitan pekerja asing, tiada yang memerlukan bantuan alat pernafasan atau rawatan rapi.

Sebelum ini kita telah melaporkan satu kes pekerja Bangladesh yang telah dirawat di Unit Penjagaan Rapi (ICU) selama dua bulan. Ini adalah Kes ke-42. Kami tidak pernah menyerah kalah dalam usaha merawatnya. Keadaannya mula stabil sejak minggu lalu. Beliau telah dipindahkan dari ICU ke wad biasa.

Proses pemulihannya akan mengambil masa. Semoga dia akan dapat berjumpa dengan anaknya yang baru sahaja lahir dalam masa terdekat ini.

Kami berharap keadaan seperti ini akan berterusan di dormitori pekerja asing: kebanyakan mereka yang dijangkiti mengalami sakit yang ringan, dan hanya sebilangan kecil sahaja yang memerlukan rawatan rapi.

Tetapi untuk lebih melindungi kesihatan para pekerja asing, kami akan meningkatkan sumber-sumber perubatan yang kami telah salurkan di dormitori-dormitori.

Semua dormitori utama disokong oleh kumpulan doktor dan jururawat yang khusus.

Kami akan melipatgandakan sumber-sumber perubatan ini dan mengerahkan lebih ramai kakitangan perubatan, untuk memastikan bahawa sesiapa yang mengalami simptom-simptom demam atau selesema akan menerima rawatan perubatan yang sesuai dan tepat pada masanya.

Kami akan menempatkan kes-kes jangkitan yang ringan di tempat tinggal mereka sekarang, di kemudahan yang diasingkan dalam dormitori, atau di kemudahan penjagaan masyarakat di tempat lain.

Kami akan memastikan bahawa mereka yang memerlukan rawatan lebih rapi akan mendapat perhatian segera, dan boleh dihantar ke hospital secepat mungkin.

Dan bagi para pekerja yang lebih mudah terjejas, contohnya yang lebih tua, kami akan memberikan tumpuan khusus kepada mereka, contohnya memindahkan mereka ke dormitori berasingan, di mana mereka boleh dipantau dengan lebih rapi.

Kepada pekerja asing kita, biar saya tekankan sekali lagi: Kami akan menjaga anda seperti mana kami menjaga rakyat Singapura.

Kami berterima kasih kepada anda atas kerjasama anda sewaktu masa-masa sukar ini.

Kami akan menjaga kesihatan anda, kebajikan anda dan mata pencarian anda. Kami akan bekerjasama dengan majikan anda untuk pastikan bahawa anda mendapat gaji, dan anda dapat menghantar wang pulang ke rumah. Kami akan membantu anda agar dapat terus berhubung dengan rakan-rakan dan keluarga anda.

Bulan Ramadan akan bermula tidak lama lagi. Kami akan pastikan agar pekerja beragama Islam dapat berpuasa dan mengerjakan ibadah anda. Apabila tiba Hari Raya Aidilfitri bulan hadapan, kami akan meraikannya bersama-sama rakan-rakan Muslim kita, seperti mana kami meraikan Tahun Baru bagi masyarakat India minggu lalu. Inilah kewajipan dan tanggungjawab kami kepada anda, dan keluarga anda.

Selain daripada para pekerja yang tinggal di dormitori, kami juga memantau perkembangan dua lagi kumpulan pekerja asing.

Pertama, para pekerja yang tidak tinggal di dormintori, tetapi di rumah-rumah kedai, rumah privet, atau flat-flat HDB.

Kedua, para pekerja di bawah perkhidmatan penting

Kumpulan ini masih tetap bekerja sewaktu tempoh pemutus rantaian jangkitan ini, agar kita dapat meneruskan kehidupan seharian di Singapura.

Contohnya, membersihkan kolong-kolong HDB atau pusat penjaja makanan, dan mengekalkan prasarana penting seperti rangkaian jalur lebar kita.

Apabila para pekerja keluar masuk dari dormitori, ini berpotensi menjadi saluran bagi jangkitan virus berlaku.

Kami telah menempatkan para pekerja di bawah perkhidmatan penting ini secara berasingan, dan juga melakukan ujian ke atas mereka untuk memastikan bahawa mereka sihat, dan mengenal pasti sebarang jangkitan secepat mungkin.

Sejauh ini, kelompok-kelompok yang telah dijangkiti di dormitori pekerja asing ratarata telah dapat dikawal, dan tidak merebak ke penduduk yang lebih luas secara besar-besaran.

Di sebaliknya, di kalangan penduduk yang lebih luas, langkah pemutus rantaian jangkitan sudah mula menunjukkan kesannya.

Jumlah kes dalam masyarakat tempatan semakin merosot sejak kebelakangan ini. Ini adalah hasil daripada usaha semua orang, yang telah membuat pengorbanan dan mematuhi arahan pemutus rantaian jangkitan.

Kita tidak harus mudah berpuas hati. Kita harus bertegas dalam meneruskan usaha ini, untuk meraih kesan yang lebih baik lagi. Untuk melihat kadar jangkitan merosot dengan mendadak, kepada satu angka, atau angka sifar jika boleh. Untuk mengurangkan kes jangkitan yang tidak ada kaitan: kes yang kami tidak tahu bagaimana mereka dijangkiti, atau daripada siapa. Kerana jumlah ini belum berkurangan. Ini bermakna ada jumlah kes yang besar dalam kalangan penduduk yang belum dikesan, dan merupakan sumber kes-kes yang tidak berkait.

Saya telah berbincang dengan Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) mengenai langkah-langkah selanjutnya. Kami sepakat untuk menurunkan jumlah kes dengan tegas. Kami juga mahu memastikan bahawa sebarang penularan jangkitan di luar kelompok pekerja asing, boleh segera dikesan dan dikawal supaya tidak menular menjadi kelompok baru, dan kemudian menjadi tidak terkawal.

Demi mencapai dua matlamat ini, kami perlu memperketatkan langkah-langkah pemutus rantaian jangkitan. Kita telah meminta semua rakyat Singapura untuk duduk di rumah.

Seharusnya anda keluar hanya untuk urusan-urusan penting, seperti membeli makanan atau barangan dapur. Jika tidak, tolong duduk di rumah. Jika anda perlu keluar, lakukannya sendirian, dan bukan secara berkumpulan atau bersama keluarga Walaupun bersenam di luar: anda harus melakukannya secara sendirian, dan hanya di kawasan kejiranan anda. Tolong ingat: ia bukan sekadar mematuhi undang-undang dari segi zahir sahaja.

Niat di sebalik garis panduan ini adalah untuk mengurangkan pergerakan, dan mengelakkan orang ramai keluar rumah dan berkumpul di dalam masyarakat. Inilah cara untuk melindungi diri anda, keluarga anda dan orang lain. Jadi saya berharap semua orang boleh bekerjasama dan memainkan peranan anda.

Terdapat beberapa tempat utama yang bermasalah, seperti pasar basah dan pasar raya yang popular. Orang ramai terus berkumpul di tempat-tempat ini, lantas adalah lebih sukar untuk memastikan langkah jarak selamat. Kami akan mengenakan sekatan kemasukan tempatan di tempat-tempat ini agar dapat mengurangkan lagi jumlah orang di pasar.

Contohnya, membenarkan orang ramai memasuki tempat-tempat ini mengikut nombor kad pengenalan, dengan nombor kad pengenalan ganjil atau genap dibenarkan masuk pada hari-hari ganjil atau genap dalam bulan tersebut. Anda juga boleh memainkan peranan anda.

Pergi ke pasar pada hari biasa dan bukan hujung minggu, dan jangan membawa seluruh keluarga anda untuk berbelanja barangan dapur.

Hanya satu orang diperlukan untuk melakukan urusan-urusan penting, dapatkan apa yang anda perlukan, dan pulang ke rumah. Kami juga akan menutup lebih banyak tempat-tempat kerja, jadi hanya perkhidmatan yang paling penting akan terus beroperasi. Ini adalah untuk mengurangkan lagi jumlah pekerja yang diperlukan untuk memastikan perkhidmatan penting ini terus disediakan, dan mengurangkan risiko jangkitan antara para pekerja.

Ini mungkin menjejas beberapa perkhidmatan - contohnya, khidmat mencantas rumput akan berkurangan di estet-estet HDB kita. Namun saya berharap kita semua faham mengapa ini harus dilakukan MTF akan mengadakan sidang media sejurus selepas ini untuk menerangkan langkah-langkah pemutus rantaian jangkitan ini dengan lebih lanjut. Kami akan melaksanakan langkah-langkah yang diperketatkan ini sehingga 4 Mei. Namun saya tidak fikir kita boleh menamatkan pemutus rantaian jangkitan dengan menyeluruh, dan semuanya akan kembali seperti sediakala. Lantas kami akan melanjutkan tempoh pemutus rantaian jangkitan untuk empat minggu lagi, iaitu sehingga 1 Jun.

Setelah jumlah penularan tempatan berkurangan, kami akan membuat penyesuaian dan menimbangkan untuk melonggarkan beberapa langkah ini. Dengan cara ini, kita boleh berasa lebih yakin bahawa kita telah mencapai kemajuan dan berada dalam keadaan yang kukuh. Ramai yang akan kecewa dengan tempoh pemutus rantaian jangkitan yang dilanjutkan.

Terutamanya perniagaan-perniagaan dan para pekerja kita, yang telah terjejas teruk. Tetapi saya harap anda faham bahawa keperitan jangka pendek ini penting untuk menghapuskan virus ini demi melindungi kesihatan orang-orang yang kita sayangi, dan sebelum sebarang pemulihan ekonomi bermula. Pemerintah akan melakukan sedaya upaya untuk membantu perniagaan-pernigaan dan para pekerja kita untuk menghadapi tempoh pemutus rantaian jangkitan yang dilanjutkan ini.

Kami akan memberi sokongan kepada para pekerja dan perniagaan-perniagaan sama seperti apa yang kami lakukan sekarang. Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat akan mengumumkan butirannya sebentar lagi.

Sudah pasti anda akan bertanya - ke mana arah tuju kita selepas ini? Bagaimana untuk mengakhiri pemutus rantaian jangkitan ini? Tiada siapa yang tahu berapa lama wabak COVID-19 ini akan berterusan. Besar kemungkinan ia akan mengambil masa lebih dari setahun, sebelum rawatan dan vaksin yang berkesan dapat dihasilkan. Oleh itu kita harus mengambil langkah demi langkah.

Untuk menamatkan pemutus rantaian jangkitan ini, kita mesti berupaya menggantikan langkah memastikan jarak selamat yang ketat untuk segenap rakyat, dengan langkah-langkah yang khusus dan berkesan untuk mengenal pasti, membanteras dan mengasingkan virus ini. Ini bermakna kita perlu melakukan tiga perkara:

Pertama, peralihan ke peringkat selanjutnya mesti dilakukan secara bertahap, dengan mengambil langkah-langkah kecil, dan memastikan keselamatan terjamin pada setiap langkah yang diambil. Ini sedang dilakukan oleh New Zealand dan Jerman, dengan penuh berhati-hati.

Mereka yakin bahawa mereka telah memutuskan rantaian jangkitan, tetapi mereka ingin lebih berwaspada. Mereka tidak mahu situasi di mana sekatan pergerakan menyeluruh dihentikan terlalu awal dan wabak COVID-19 menular kembali, justeru sekatan pergerakan menyeluruh terpaksa dilaksanakan buat kali kedua. Ini telah berlaku di beberapa tempat seperti Hokkaido. Kita mesti berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mengelakkan kejadian ini.

Kedua, kita perlu mempertingkatkan lagi skala ujian bagi COVID-19, supaya kita dapat mengesan kes-kes baru dengan cepat. Kita telah memulakannya, bukan sahaja dengan membeli kit-kit ujian dan peralatan daripada negara-negara lain, malah dengan menghasilkan dan mengeluarkan kit-kit ujian kita sendiri.

Ketiga, kita perlu memanfaatkan teknologi dengan sepenuhnya, supaya apabila kita mengenal pasti kes COVID-19, kita dapat menjalankan pengesanan di mana individu-individu ini telah pergi, dan dengan siapa mereka telah berhubung dengan lebih berkesan lagi. Kami mempunyai aplikasi TraceTogether, dan kami sedang menghasilkan aplikasi lain untuk mencapai matlamat ini.

Untuk memastikan keberkesanannya, kami memerlukan kerjasama semua untuk memasang dan menggunakan aplikasi-aplikasi ini, seperti apa yang warga Korea Selatan telah lakukan. Sudah tentu ia menimbulkan keprihatinan mengenai maklumat peribadi, tetapi kami perlu mempertimbangkannya dengan manfaat yang akan diperolehi jika pemutus rantaian jangkitan berakhir secepat mungkin dan kita dapat memastikan Singapura terus terbuka dengan cara yang selamat.

Saya faham bahawa ini adalah masa yang sukar bagi semua orang. Kita telah mencapai kemajuan, tetapi kita belum boleh dianggap sudah berjaya.

Langkah pemutus rantaian jangkitan telah membuahkan hasil Sekarang kita semua perlu meningkatkan usaha, untuk melakukan terbaik sewaktu tempoh pemutus rantaian jangkitan dalam dua minggu akan datang, dan untuk empat minggu selanjutnya.

Saya meminta sokongan dan kerjasama anda. Saya meminta agar anda menaruh keyakinan dan kepercayaan. Mari kita curahkan segenap tenaga untuk menewaskan virus ini, dan memutuskan penularannya. Kita akan mengatasinya bersama

Terima kasih.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg