Bantuan Ketiga Singapura untuk Gaza
Singapura akan menyumbangkan bantuan ketiga negara kepada rakyat di Gaza melalui Jordan.
Bantuan pertama dihantar pada awal November 2023 kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir di Kaherah, Mesir.
Bantuan kedua pada akhir November 2023 terus ke Al Arish, berhampiran sempadan Mesir-Gaza, oleh pesawat pengangkut Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF).
Pada Januari 2024, Singapura menghantar pasukan perubatan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) menaiki kapal Tentera Laut Perancis di Mesir untuk merawat mangsa dari Gaza.
Singapura juga akan meneruskan sokongan lamanya untuk usaha pembinaan kapasiti Pihak Berkuasa Palestin melalui Pakej Bantuan Teknikal Dipertingkat (ETAP) bernilai $10 juta. Bantuan itu akan ditadbir melalui pejabat perwakilan Singapura di Ramallah, yang ditubuhkan pada 2022.
Hubungan dengan Malaysia
Hubungan dengan Malaysia dalam keadaan baik. Pada peringkat politik, hubungan adalah kerap. Sekitar 30 Menteri dan pegawai kanan Malaysia melawat Singapura pada 2023, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang melawat sebanyak tiga kali.
Hubungan ekonomi sama teguh. Malaysia antara tiga rakan dagangan utama Singapura pada 2023, dengan perdagangan dua hala mencecah $123.6 bilion.
Pada Januari, Singapura menandatangani memorandum persafahamam (MOU) mengenai Zon Ekonomi Khas (SEZ) Johor-Singapura. Menjelang 2026, Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) baru akan beroperasi, memudahkan lebih banyak interaksi rentas sempadan. SEZ dan RTS bukti hubungan rakyat yang meluas.
Hubungan dengan Indonesia
Hubungan dengan Indonesia telah diperkukuh dan pelibatan peringkat tinggi juga semakin kerap, dengan Presiden Joko Widodo dan Naib Presiden Ma’ruf Amin melawat pada 2023. Hubungan peringkat serantau juga telah berkembang.
Singapura dan Indonesia telah menandatangani dan meratifikasi Perjanjian Rangka Kerja yang Diperluaskan. Pada 2023, dua negara ini menandatangani MOU untuk menubuhkan program Singapore-Indonesia Tech:X. Apabila dilancarkan, program ini akan membolehkan profesional teknologi muda dari Singapura dan Indonesia bekerja di negara satu sama lain dan mendapat pendedahan.
Terdapat juga kemajuan baik dalam kerjasama keselamatan makanan, dengan Singapura mengimport ayam hidup dari Kepulauan Riau sejak Mei 2023. Singapura akan terus meneroka kerjasama peringkat negara dan serantau, dalam bidang seperti pendidikan, pembangunan modal insan, dan sektor baru muncul seperti tenaga dan kemampanan.
Hubungan dengan Brunei
Hubungan istimewa Singapura dengan Brunei terus berkembang. Pada peringkat kepimpinan, hubungan sangat rapat. Presiden Tharman Shanmugaratnam melawat Brunei pada Januari. dalam lawatan negara pertamanya sejak memegang jawatan.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, mengetuai Program Pemimpin Muda ke-9 bersama Putera Mahkota yang juga Menteri Kanan di Pejabat Perdana Menteri Brunei, Putera Haji Al-Muhtadee Billah, di Brunei pada Disember 2023.
Kedua-dua negara komited mengeratkan hubungan antara rakyat melalui inisiatif seperti Biasiswa Pendidikan Belia Brunei Darussalam – Singapura dan MOU Pengukuhan Kerjasama Perkhidmatan Awam.
Singapura dan Brunei menyambut ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik pada 2024. Singapura merancang memajukan kerjasama dalam bidang baru dan baru muncul seperti ekonomi hijau, tenaga boleh diperbaharui, ketahanan rantaian bekalan makanan dan perubatan, dan ketersambungan digital.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg