SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Seluruh masyarakat ada peranan elak kejadian RVHS berulang

Seluruh masyarakat ada peranan elak kejadian RVHS berulang

Jul 28, 2021 | 5:30 AM

Seluruh masyarakat ada peranan elak kejadian RVHS berulang

a9b258da-6998-4247-9774-faf9c34d7840
-

USAHA seluruh masyarakat diperlukan bagi menjaga keselamatan anak-anak, keluarga dan masyarakat demi mengelakkan kejadian kematian tragis di Sekolah Tinggi River Valley (RVHS) berulang, kata Menteri Pendidikan Chan Chun Sing.

Beliau berkata rangkaian keselamatan bersama yang disokong budaya ambil berat dan mengasuh bagi semua orang, terutama belia, diperlukan.

"Ini agar secara kolektif, kita dapat sampaikan kepada mereka mesej jelas bahawa tidak ada seorang pun akan bersendirian; atau perlu melalui detik paling mencabar dalam hidup bersendirian," kata Encik Chan dalam satu kenyataan menterinya di Parlimen semalam.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang menunjukkan keprihatinan dan memberi sokongan kepada keluarga RVHS sejak kejadian 19 Julai itu.

Encik Chan juga berkata beliau rasa terdorong oleh usaha masyarakat dalam mempertingkat bantuan bagi kesihatan mental. Sejak Februari tahun lalu, orang ramai menyumbang kepada Rangkaian Kesejahteraan Mental Belia di mana mereka mengenal pasti jurang yang ingin ditangani dan kini sedang membangunkan huraian masyarakat bagi mempertingkat kesejahteraan mental belia.

Encik Chan menggalak setiap orang meneliti dalam kumpulan sosial masing-masing untuk mula mengenal pasti isu kesihatan mental yang boleh ditangani. Misalnya, keluarga boleh meluangkan lebih banyak masa mendengar pandangan dan luahan perasaan anak-anak agar mereka dapat berkongsi tentang perkara yang membuat mereka rasa tertekan, dan memberi mereka ruang untuk memproses emosi.

Beliau berkata perbincangan jujur juga boleh diadakan bersama anak-anak dan keluarga mengenai definisi kejayaan. Sebagai seorang bapa, Encik Chan berkongsi bahawa beliau sedar kejayaan mesti ditentukan dengan membantu anak-anaknya menyedari potensi diri mereka, membangunkan kekuatan sendiri dan membantu mereka agar yakin pada diri sendiri.

"Kejayaan tidak boleh, tidak harus dan tidak boleh menjadi sesuatu yang terus-menerus dibandingkan dengan orang lain dan perlu menepati imej orang lain.

"Hadiah terbesar yang dapat kita beri kepada anak-anak ialah kita menerima dan menyayangi mereka tanpa syarat dan membantu mereka berasa selesa dengan diri mereka. Sebagai ibu bapa, jaminan terbesar yang kita boleh beri kepada anak-anak ialah kita mengakui dan memberi mereka keyakinan untuk mencari jalan mereka sendiri," ujar beliau.

Encik Chan berkata keluarga juga boleh membantu anak-anak belajar tingkah laku yang betul dalam dunia luar dan dalam talian. Beliau menggalak orang dewasa menunjukkan nada dan contoh betul, dan mematahkan kitaran negatif dengan membela orang lain dan memberi respons dengan adab dan belas ihsan.

"Kita boleh menghentikan perbincangan toksik dalam talian, dan memperkukuh mesej kekuatan, keprihatinan dan positif menerusi rangkaian dalam talian kita," kata beliau.

Menurut Encik Chan, Kementerian Pendidikan (MOE) akan memperkukuh kerjasama menerusi kumpulan sokongan ibu bapa di semua sekolah bagi usaha itu dan berharap kumpulan sedemikian dapat memperluas peranan mereka untuk menghulurkan bantuan kepada ibu bapa yang mempunyai anak dan keluarga yang mungkin memerlukan lebih banyak sokongan.

Beliau menyeru setiap orang agar tidak mempunyai stigma terhadap individu yang tampil mendapatkan bantuan, baik pelajar, mahupun kakitangan dan keluarga.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg