SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Seni menghubung masyarakat di tengah pandemik Covid-19

Seni menghubung masyarakat di tengah pandemik Covid-19

Mar 10, 2021 | 5:30 AM

Seni menghubung masyarakat di tengah pandemik Covid-19

BIMBING MELALUI ZOOM: Memanfaatkan teknologi video Zoom dan dokumentasi video untuk memudahkan proses berinteraksi bersama peserta serta mengurangkan hubungan fizikal selain mematuhi garis panduan. - Foto PA
BIMBING MELALUI ZOOM: Memanfaatkan teknologi video Zoom dan dokumentasi video untuk memudahkan proses berinteraksi bersama peserta serta mengurangkan hubungan fizikal selain mematuhi garis panduan. - Foto PA -

ENCIK Ryf Zaini, 40 tahun, artis visual berbakat dari Maktab Seni Lasalle telah melibatkan diri selama enam tahun dalam pesta seni Persatuan Rakyat (PA) iaitu Festival PAssionArts.

Festival seni masyarakat negara itu menyambut festivalnya yang kesembilan dengan tema #HarmoniousArtCity atau bandar seni yang harmoni.

Untuk menyokong tema #HarmoniousArtCity, lebih daripada 150 penduduk dari kelab masyarakat Ayer Rajah dan Gek Poh Ville telah berganding bahu bersama membuat pemasangan seni 'The Creature + Feature' dengan artis visual Encik Ryf Zaini.

Melalui gabungan bengkel maya dan fizikal, pemasangan itu akan dipamerkan di 72 Bendemeer Road sehingga akhir Mac 2021.

Pemasangan itu memaparkan kisah makhluk mitos yang pernah tinggal di Singapura.

Makhluk-makhluk itu mempunyai kuasa misteri yang berkemungkinan pernah disaksikan oleh Putera Sang Nila Utama, pengasas Singapura pada 1299.

Pemasangan seni itu menggambarkan ketahanan, kepelbagaian dan daya hidup.

Setiap makhluk diperbuat daripada barang harian yang boleh dikitar semula seperti bekas botol susu atau botol bahan pencuci, tangkai kayu aiskrim, butang baju, belon dan lain-lain.

Apabila ditanya apakah ilham di sebalik pameran itu, Encik Ryf Zaini menjawab:

"Ilham untuk pameran ini muncul ketika saya berfikir tentang bagaimana cerita dan kisah sering berputar daripada imaginasi manusia dan bagaimana kita boleh berikan personaliti kepada objek, watak pahlawan dan makhluk untuk membuat identiti unik yang terbaik untuk pameran tersebut.

"Dari perspektif saya, konteks kreatif harus dikaitkan dengan tema festival PAssionArts ini. Ia berdasarkan tema yang menunjukkan kepelbagaian dan kesatuan di bawah payung seni masyarakat Singapura."

Menurut Encik Ryf Zaini juga, beliau sedar bahawa PAssionArts sentiasa mengutamakan penyertaan orang ramai untuk menjadi bahagian penting dalam kerjanya.

Oleh itu, dengan pandemik Covid-19 tahun lepas, penyertaan dengan penduduk dan orang awam perlu disesuaikan sejajar dengan garis panduan pemerintah.

"Dengan ini, kami telah merancangkan bagi peserta untuk membawa pulang tugasan dan membuatnya dalam keselesaan rumah mereka sendiri.

"Kit PAssionArts yang disediakan mengandungi bahan dan arahan untuk membimbing mereka dalam proses kraf tersebut dengan lebih baik.

"Kami juga telah memanfaatkan teknologi Zoom dan dokumentasi video untuk memudahkan proses berinteraksi serta mengurangkan hubungan fizikal," tambah pensyarah Sekolah Seni Singapura (Sota) itu.

Dengan dokumentasi video itu, ia membolehkan peserta meninjau dan meneliti kraf itu dari keselesaan rumah mereka sambil mengikut jadual masa luang tersendiri.

Pengarah seni dan budaya masyarakat PA, Encik Patrick Sim, berkata:

"PAssionArts #HarmoniousArtCity adalah ungkapan terbaru untuk membangun masyarakat yang padu melalui seni.

"Wabak ini telah menyebabkan konteks sosial dan landskap Singapura untuk berubah secara mendadak.

"Namun, tumpuan kami tetap untuk memberi inspirasi kepada penduduk dan seniman daripada pelbagai latar belakang dan masyarakat untuk sama-sama terus membangun bandar seni yang harmoni."

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg