Topik diikuti
Pergi ke BHkuSG lakukan terbaik pastikan pesakit Covid-19 dijaga dengan baik: PM Lee
Kumpulan bertindak pengurusan kes Covid-19 (CMTG) kendali seluruh proses pesakit Covid-19 dari pengesanan hingga pemulihan
SG lakukan terbaik pastikan pesakit Covid-19 dijaga dengan baik: PM Lee
SINGAPURA sedang melakukan yang terbaik bagi mempertingkat operasi Covid- 19 dalam keadaan jumlah kes yang bertambah demi memastikan semua pesakit dijaga dengan baik, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong.
Encik Lee akur bahawa ini merupakan masa yang menimbulkan tekanan bagi mereka yang mempunyai anggota keluarga yang dijangkiti Covid-19.
"Sebilangan daripada anda menulis kepada saya untuk meluahkan kekecewaan anda atau bertanya mengapa MOH (Kementerian Kesihatan) mengambil masa yang sangat lama untuk berhubungan setelah anda atau orang tersayang diuji positif," kata beliau melalui Facebook semalam.
Sejak beberapa minggu lalu, ramai dalam kalangan penduduk di sini yang telah membuat aduan sambil mengatakan mereka terpaksa menunggu lama, antara tempoh mereka diuji positif Covid-19 dengan dihantar ke hospital atau kemudahan jagaan masyarakat bagi jagaan lanjut.
Ada juga yang mengadu mereka tidak dapat menghubungi MOH untuk bertanyakan apa yang perlu dilakukan jika diuji positif.
Dalam hal ini, Encik Lee berkata kumpulan bertindak bagi pengurusan kes Covid- 19 (CMTG) mengendalikan "seluruh proses bagi pesakit Covid-19 dari pengesanan hingga pemulihan", kata beliau.
"Ini termasuk menugaskan mereka ke kemudahan jagaan yang wajar, mengatur pengangkutan serta memberi taklimat kepada pesakit mengenai apa yang mereka perlu lakukan khususnya apabila mereka menjalani pemulihan di rumah," jelas Encik Lee yang telah mengunjungi pejabat operasi kumpulan bertindak itu kelmarin.
Sejak 15 September, pesakit berusia 12 hingga 50 tahun yang sudah mendapatkan vaksinasi sepenuhnya boleh menjalani pemulihan di rumah jika mereka memenuhi kriteria.
Skim tersebut diperluaskan lagi kepada pesakit Covid-19 berusia hingga 69 tahun yang sudah lengkap menerima vaksin sejak Sabtu lalu.
Justeru, beliau menggalak pesakit yang sudah mendapatkan vaksinasi lengkap kini digalakkan agar menjalani pemulihan di rumah jika mampu, khususnya jika tanda jangkitan mereka ringan.
Beliau menambah: "Ia juga akan mengurangkan permintaan bagi katil hospital agar yang berpenyakit serius boleh mendapatkan rawatan yang mereka perlukan."
Encik Lee juga sempat memberikan penghargaannnya kepada CMTG sambil menyatakan mereka "mempunyai tuntutan tugas yang sangat mendesak".
Di samping itu, mereka "beroperasi sepanjang 24 jam sehari, tujuh hari seminggu, dalam situasi yang pesat berubah", jelas Encik Lee lagi.
"Saya ingin sampaikan terima kasih kepada CMTG atas dedikasi dan usaha gigih mereka.
"Jika kita semua dapat bekerjasama, mendapatkan vaksinasi dan memakai pelitup dengan betul, kita boleh memperlahankan gelombang semasa serta menjalani kehidupan harian dengan selamat tanpa membebankan hospital kita atau mengalami korban jiwa yang tidak perlu," ujarnya.
Kelmarin, MOH mengenal pasti 1,178 kes Covid-19 baru dengan 1,038 daripadanya merupakan kes masyarakat manakala 138 kes melibatkan penghuni dormitori.
Sementara itu, lima lagi adalah kes import.
Ini merupakan kali ketiga dalam tempoh empat hari berturut-turut di mana jumlah kes baru yang dilaporkan melebihi paras 1,000 kes.
MOH turut melaporkan tiga kes kematian warga emas berpunca daripada komplikasi jangkitan Covid-19.
Dengan tiga kes ini, jumlah pesakit yang meninggal dunia disebabkan komplikasi Covid-19 di Singapura mencecah 65 orang keseluruhannya.