SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

'SG sokong penuh usaha global kalahkan ISIS'

'SG sokong penuh usaha global kalahkan ISIS'

Vivian tekankan pendirian dalam mesyuarat di Rome
Jun 30, 2021 | 5:30 AM

'SG sokong penuh usaha global kalahkan ISIS'

KOMITMEN TANGANI PENGGANASAN: Dr Vivian Balakrishnan menyatakan komitmen Singapura memerangi pengganasan di Rome kelmarin. - Foto EPA-EFE
KOMITMEN TANGANI PENGGANASAN: Dr Vivian Balakrishnan menyatakan komitmen Singapura memerangi pengganasan di Rome kelmarin. - Foto EPA-EFE -

MENTERI Ehwal Luar Dr Vivian Balakrishnan mengesahkan sokongan Singapura terhadap usaha global memastikan kekalahan yang dialami kumpulan pengganas ISIS berterusan.

Meskipun kumpulan itu tidak lagi menguasai wilayah, ia masih wujud secara berpecah-pecah di peringkat global dan tetap menjadi ancaman.

Berucap di mesyuarat menteri Perikatan Global 83-negara untuk Mengalahkan ISIS di Rome kelmarin, Dr Balakrishnan menekankan bahawa tindak balas keselamatan yang tegas adalah penting tetapi tidak mencukupi.

Beliau membentangkan usaha Singapura k memerangi pengganasan melalui penglibatan masyarakat yang kukuh dan persediaan tindak balas keselamatan dalam negeri.

Beliau turut menarik perhatian tentang penubuhan Kemudahan Maklumat Tindak Balas Pengganasan di Singapura tahun ini, untuk negara-negara yang sehaluan berkongsi risikan dan menyatukan keupayaan pemantauan dan analisis.

"Kami akan terus bekerjasama dengan masyarakat dan pertubuhan keagamaan untuk mengenal pasti individu yang radikal.

"Kami perlu menambat hati dan minda orang ramai di seluruh dunia dan di rantau ini. Kami memerlukan kepercayaan dan perpaduan antara pelbagai kumpulan, dan untuk menghilangkan tanggapan salah atau prasangka apabila ia muncul," kata Dr Balakrishnan dalam ucapannya.

Dalam satu kenyataan bersama, perikatan negara itu berkata kekalahan ISIS di Iraq dan Syria telah membebaskan lapan juta orang, tetapi menambah bahawa sumber yang mencukupi diperlukan untuk mencegah kumpulan pengganas itu daripada membina semula rangkaian dan keupayaannya untuk menyasarkan pasukan keselamatan dan orang awam.

Jaringan yang berkaitan dengan ISIS juga telah mula bertapak di rantau sub-Sahara, dan satu sesi telah diadakan dalam mesyuarat itu untuk membincangkan keadaan keselamatan di Afrika.

Di tengah-tengah usaha ISIS menembusi rantau itu, perikatan tersebut menyambut baik Republik Afrika Tengah, Republik Demokratik Kongo, Mauritania dan Yaman sebagai anggota baru kelmarin.

Dalam kenyataan bersamanya lagi, perikatan itu berkata usaha yang komprehensif dan kolektif tetap diperlukan untuk memastikan kekalahan ISIS itu berterusan di seluruh dunia.

Memberi komitmen Singapura mahu bekerjasama dengan anggota perikatan, Dr Balakrishnan berkata: "Sebagai negara Asia Tenggara pertama yang menyumbang tenaga dan aset dalam Perikatan Global untuk Mengalahkan ISIS, Singapura gembira bahawa usaha gabungan kita telah membawa kepada kekalahan wilayah ISIS di Iraq dan Syria."

Namun, beliau memberi amaran bahawa ISIS terus menjadi ancaman dan telah mengeksploitasi bidang digital untuk memperluas rangkaiannya dan menyebarkan fahaman pelampau.

Warga asing yang pulang setelah berjuang dengan ISIS juga merupakan bahaya yang jelas dan nyata, tambahnya.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg