Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SIA Group hentikan sekitar 2,400 pekerja

Sebanyak 4,300 jawatan di SIA, SilkAir dan Scoot akan dikurang
Sep 11, 2020 | 5:30 AM
-

SEKITAR 2,400 kakitangan Singapore Airlines (SIA) Group akan diberhentikan kerja sedang syarikat itu berdepan dengan kesan buruk daripada krisis Covid-19.

Dalam satu kenyataan semalam, SIA berkata ia telah mengumumkan "keputusan sukar untuk mengurangkan sebanyak 4,300 jawatan di kesemua syarikat penerbangannya" yang merangkumi Singapore Airlines, SilkAir dan Scoot.

"Setelah mengambil kira pembekuan perekrutan, susutan biasa iaitu bilangan biasa pekerja yang bersara atau melepaskan jawatan), dan skim letak jawatan sukarela, jumlah potensi kakitangan yang terjejas telah berkurangan kepada sekitar 2,400 di Singapura dan di stesen luar negara.

"Keputusan ini diambil memandangkan laluan yang panjang dalam pemulihan industri penerbangan global ekoran kesan buruk pandemik Covid-19, dan keperluan mendesak syarikat penerbangan kumpulan ini untuk menyesuaikan diri dengan masa depan yang tidak menentu," kata SIA.

Pemberhentian kerja itu berlaku sedang perjalanan antarabangsa masih teruk terjejas dengan langkah pemerintah serata dunia yang melaksanakan sekatan sempadan yang meluas untuk membendung pandemik tersebut.

Sedang terdapat langkah untuk membuka semula sempadan sejak beberapa minggu lalu bagi tujuan perniagaan dan perjalanan rasmi antara Singapura dengan beberapa negara termasuk China, bilangan penumpang dan penerbangan itu masih kecil berbanding sebelum pandemik Covid-19.

Pada Julai lalu, SIA melaporkan kerugian bersih $1.12 bilion dalam suku yang berakhir 30 Jun - kerugian paling teruk yang dilihat dalam satu suku, sedang permintaan penerbangan terus menjunam.

Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) berkata Kesatuan Kakitangan Singapore Airlines (SIASU) dan Kesatuan Kakitangan Scoot (STSU) telah bekerjasama dengan pihak pengurusan untuk memastikan pemberhentian kerja itu dilaksana secara adil.

Setiausaha agung NTUC, Encik Ng Chee Meng, pula berkata dalam pertemuannya dengan pemimpin kesatuan daripada sektor penerbangan dan aeroangkasa sebelum ini, mereka telah membincangkan tentang langkah yang diambil untuk membantu pekerja dalam tempoh ini, dan untuk mengurangkan pemberhentian kerja.

"Sedang hasilnya tidak selalunya yang kita idamkan, saya menghargai usaha ini.

"Saya tahu ia sukar bagi semua yang terjejas. Marilah kita tabah, kekalkan keyakinan dan terus sokong satu sama lain," ujarnya.

APA KATA SINGAPORE AIRLINES GROUP:

"Keputusan ini diambil memandangkan laluan yang panjang dalam pemulihan industri penerbangan global ekoran kesan buruk pandemik Covid-19, dan keperluan mendesak syarikat penerbangan kumpulan ini untuk menyesuaikan diri dengan masa depan yang tidak menentu."

APA KATA SETIAUSAHA AGUNG NTUC, ENCIK NG CHEE MENG:

"Sedang hasilnya tidak selalunya yang kita idamkan, saya menghargai usaha ini. Saya tahu ia sukar bagi semua yang terjejas. Marilah kita tabah, kekalkan keyakinan dan terus sokong satu sama lain."

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg