Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Siasatan Muis: Proses iktiraf sijil halal asing tiada salah guna kuasa

Dec 16, 2020 | 5:30 AM
Encik Esa Masood, Ketua Eksekutif Muis
Encik Esa Masood, Ketua Eksekutif Muis -

- Demi kebertanggungjawaban, Muis rujuk dakwaan terhadap FHCB kepada CPIB bagi siasatan lanjut

- Laporan polis turut dibuat mengenai kemungkinan pelanggaran Akta Rahsia Rasmi (OSA)

SIASATAN Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) berhubung dakwaan terhadap Badan Pensijilan Halal Asing (FHCB) menunjukkan bahawa proses pengiktirafan FHCB adalah baik dan dilakukan secara adil dan tidak berat sebelah.

Malah, sebarang tuduhan mendakwa salah guna kuasa oleh pegawai Muis juga tidak berasas.

Muis membentangkan dapatan itu dalam kenyataannya semalam selepas ia selesai membuat siasatan berhubung dakwaan mengenai proses pengiktirafan FHCB.

"Perkara utama tuduhan tersebut adalah sama ada pengiktirafan dan nyahsenarai FHCB oleh Muis dilakukan secara adil dan tidak berat sebelah.

"Siasatan menunjukkan bahawa semua pengiktirafan, pembaharuan atau nyahsenarai FHCB mengikuti protokol dalaman yang diluluskan, dan pegawai Muis yang dituduh tidak meluluskan atau menyahsenarai sebarang FHCB berdasarkan budi bicaranya sendiri.

"Terdapat sebab munasabah dan objektif bagi penarikan balik senarai FHCB dan kelulusan secara betul diperolehi. Oleh itu, sebarang tuduhan penyalahgunaan kuasa oleh pegawai Muis yang menangani kes FHCB adalah tidak berasas,'' ujar kenyataan Muis.

Isu pengiktirafan FHCB mula timbul selepas satu laporan diterbitkan pada 22 April lalu oleh laman berita dalam talian berpangkalan di Hong Kong yang mendakwa Muis bersikap berat sebelah terhadap pihak tertentu dalam proses mengiktiraf FHCB.

Beberapa lagi laporan kemudian dikeluarkan oleh laman berita itu termasuk laporan yang dikatakan mengandungi dakwaan tidak tepat berhubung siasatan mengenai FHCB.

Muis tidak menamakan laman tersebut tetapi Berita Harian (BH) difahamkan ia merujuk kepada laman Asia Sentinel.

FHCB adalah entiti berpangkalan di luar negara yang mengesahkan jika produk makanan di negara masing-masing memenuhi syarat diet Muslim.

Muis hanya mengiktiraf FHCB yang memenuhi piawaian yang ditetapkan Muis bagi memastikan bahawa syarikat makanan tempatan dan syarikat pengeluaran mempunyai akses kepada bekalan bahan halal yang boleh dipercayai untuk penyediaan makanan mereka.

Ekoran dakwaan oleh laman itu, Muis membentuk pasukan siasatan dalaman (IVT) yang diketuai Timbalan Ketua Eksekutif Muis, Dr Albakri Ahmad, bagi mengumpulkan bukti dan menilai kesahihan dakwaan tersebut.

Dapatan dan saranan IVT disemak lebih lanjut oleh panel semakan bebas (IRP) yang dipengerusikan Encik Abdul Hamid Abdullah, Anggota Majlis Muis dan pengarah audit yang telah bersara daripada Pejabat Ketua Audit Negara.

Dapatan IRP kemudian diserahkan kepada Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY), yang telah pun selesai menyemak dapatan siasatan tersebut.

Walaupun terdapat tuduhan rasuah oleh laman tersebut, Muis menyatakan siasatan tidak menemui bukti bahawa ia berlaku.

"Demi kepentingan ketelusan dan kebertanggungjawaban, Muis telah merujukkan perkara itu kepada Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) untuk siasatan lanjut dan akan memberi bantuan dan kerjasama yang diperlukan,'' kata Ketua Eksekutif Muis, Encik Esa Masood, yang mengulas dapatan itu di Facebook semalam.

Oleh kerana siasatan itu juga menimbulkan kemungkinan berlaku pendedahan maklumat rahsia tanpa izin kepada pihak ketiga yang telah disiarkan di media, beliau menambah bahawa Muis juga telah membuat laporan polis.

Sementara Muis memandang serius masalah salah laku pegawai awam yang mendedahkan maklumat rahsia kepada sumber yang tidak dibenarkan, Muis telah membuat laporan polis untuk menyiasat kemungkinan pelanggaran Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan akan mengambil tindakan tatatertib terhadap mana-mana pegawai yang didapati melanggarnya.

Melangkah ke depan, Muis komited untuk mengekalkan tahap piawaian halal tertinggi dalam memenuhi keperluan pemakanan keagamaan pengguna Muslim Singapura, kata kenyataan Muis itu.

Encik Esa berkata perubahan industri halal memerlukan proses pengiktirafan FHCB untuk terus ditingkatkan.

"Muis akan melaksanakan semakan menyeluruh bagi rangka pengiktirafan FHCB, dengan rangka kerja yang disemak dijangka dilaksanakan pada penghujung 2021,'' katanya.

SEKILAS DAPATAN DAN TINDAKAN SUSULAN HASIL SIASATAN PROSES PENGIKTIRAFAN FHCB

  1. Siasatan dapati proses Muis berfungsi baik dan pengiktirafan dan nyahsenarai FHCB telah dilakukan pegawainya secara adil dan tidak berat sebelah.
  2. Sebarang tuduhan mendakwa salah guna kuasa oleh pegawai Muis tidak berasas.
  3. Muis akan rujuk perkara itu kepada Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) dan akan bantu sepenuhnya siasatan.
  4. Oleh kerana siasatan menunjukkan kemungkinan maklumat rasmi didedahkan secara umum, Muis telah buat laporan polis untuk siasat kemungkinan pelanggaran Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan akan ambil tindakan tatatertib terhadap mana-mana pegawai yang didapati melanggarnya.
  5. Muis akan lakukan semakan menyeluruh untuk memperkukuh rangka pengiktirafan FHCB. Perubahan dirancang dilaksanakan penghujung 2021.

APA KATA MENTERI MASAGOS

"Berikutan dakwaan terhadap Muis mengenai badan pensijilan halal asing atau FHCB, siasatan dalaman serta siasatan oleh Panel Semakan Bebas (IRP) yang menyeluruh telah dijalankan. Dapatan daripada siasatan tersebut juga telah disemak oleh Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY). Saya yakin bahawa keseluruhan proses ini dijalankan secara telus dan menyeluruh. Siasatan menunjukkan bahawa proses pengiktirafan FHCB dilakukan dengan betul tanpa salah laku... Akan tetapi, kita harus mengambil langkah untuk memastikan agar proses Muis dalam mengiktiraf FHCB kekal relevan, kukuh dan berkesan. Saya mengalu-alukan langkah Muis untuk menjalankan semakan untuk mempertingkatkan proses pengiktirafan FHCB. Ini jelas mencerminkan komitmen Muis dalam memenuhi keperluan sosio-agama masyarakat Islam Singapura.'' - Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg