Topic followed successfully
Go to BHkuSidang digital DEWIDigi bakal diadakan 24 Mac
Sidang digital DEWIDigi bakal diadakan 24 Mac
Sidang digital DEWIDigi bakal diadakan 24 Mac
SIDANG digital yang bertujuan meningkatkan kemahiran usahawan wanita terutama sekali dengan penggunaan teknologi digital dalam perniagaan, bakal diadakan hujung bulan ini.
DEWIDigi-Berubah Secara Digital dalam Era Pascapandemik anjuran sayap wanita Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS), Dewi@SMCCI, kembali lagi dengan menampilkan usahawan-usahawan wanita berjaya untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran mereka dengan orang ramai.
Sekumpulan usahawan itu, termasuk usahawan fesyen Diyana Halik, pengasas wadah makanan halal Halalfoodhunt Jumaiyah Mahathir dan pengasas syarikat pengeluar pewarna kuku mesra wuduk jenama Zahara, Cik Amira Geneid, akan tampil dalam satu persidangan dalam talian sehari pada 24 Mac ini.
Persidangan itu bertujuan memperkasa usahawan wanita 'mendigitalkan' perniagaan mereka.
Antara topik yang akan diketengahkan termasuk pentingnya pemasaran secara digital untuk perniagaan, cara pembayaran secara digital dan membina jenama dalam talian.
Peserta juga berpeluang menjalin rangkaian dengan usahawan wanita lain serta mengambil peluang bekerjasama dengan mereka untuk mengembangkan lagi perniagaan.
Pengerusi Dewi@DPPMS, Cik Fadilah A. Majid, berkata perniagaan perlu sedar pentingnya mengambil langkah mendigitalkan perniagaan mereka untuk maju ke peringkat lebih tinggi.
"Pandemik Covid-19 ini memaksa banyak perniagaan menghentikan operasi mereka disebabkan kurangnya pendigitalan serta kehadiran dalam talian.
"Untuk itu, DEWIDigi 2021 ini ingin menekankan pentingnya mengambil langkah mendigitalkan perniagaan demi kemampanan dan pertumbuhan," katanya.
Cik Fadilah menambah, walaupun acara tahun ini berbeza berbanding acara fizikal tahun-tahun sebelumnya, matlamatnya masih tetap untuk memastikan peserta meraih pengetahuan serta kemahiran yang diperlukan dalam melangkah ke peringkat seterusnya.
Sidang itu akan diadakan dalam talian pada 24 Mac dari 10 pagi hingga 1 tengah hari.
Tiket boleh didapatkan menerusi laman web www.dewidigi.smcci.org.sg pada harga $35 ke atas.

