Topic followed successfully
Go to BHkuSidang Parlimen disiar langsung ke YouTube MCI bagi tontonan ramai
Sidang Parlimen disiar langsung ke YouTube MCI bagi tontonan ramai
Sidang Parlimen disiar langsung ke YouTube MCI bagi tontonan ramai
SIDANG Parlimen buat julung-julung kalinya disiarkan secara langsung menerusi penstriman dalam talian kepada orang awam semalam.
Sidang semalam - yang pertama tahun ini - disiarkan di saluran YouTube Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI), dalam dua versi - ucapan asal serta penterjemahan ucapan bahasa vernakular kepada bahasa Inggeris.
Video penuh setiap penstriman akan kekal dalam saluran YouTube MCI bagi tempoh enam bulan setelah sidang berakhir, kata Menteri Perhubungan dan Penerangan, Encik S. Iswaran, di Parlimen semalam.
"Semua saluran yang kini sedia ada untuk mengakses prosiding Parlimen kekal - termasuk kehadiran secara peribadi di Balai Orang Luar (Strangers' Gallery), klip dalam talian yang dimuat naik beberapa jam setelah sidang, serta rekod bertulis Hansard yang juga disediakan dalam talian.
"Aturan ini sudah pun memberi kita manfaat penuh ketelusan, kebertanggungjawapan serta kemudahan untuk mendapat akses," kata Encik Iswaran.
Dengan khidmat penstriman, orang awam boleh menonton prosiding Parlimen tanpa perlu hadir secara fizikal di Parlimen.
Pemerintah kali pertama menyatakan persetujuan secara prinsip untuk membenarkan penstriman sidang Parlimen pada September lalu.
Encik Iswaran telah berkata waktu itu, pemerintah bersetuju kepada aturan tersebut, memandangkan khidmat penstriman dalam talian yang kini lebih mudah dilaksana.
Namun, sedang pemerintah berusaha mendekati rakyat secara lebih mendalam menerusi penstriman sidang Parlimen, "kita mesti mengekalkan kewibawaan dan martabat Parlimen sebagai forum untuk perbahasan serius mengenai isu nasional", kata Encik Iswaran semalam.
Menjawab soalan Cik Tin Pei Ling (MacPherson) mengenai kesan tindakan membenarkan penstriman Parlimen ke atas mutu perbahasan, Encik Iswaran berkata:
"Akhirnya, tanggungjawab terletak pada semua anggota dewan ini, sekarang ini dan masa depan, yang mesti terus mendukung standard tertinggi kelakuan dan ketertiban, sedang kita terlibat dalam pertikaman lidah dalam perbahasan Parlimen."

