Topik diikuti
Pergi ke BHkuPemerintah, industri harus sepakat piawaian sejagat demi interaksi selamat dalam talian
Pemerintah, industri harus sepakat piawaian sejagat demi interaksi selamat dalam talian
Pemerintah, industri harus sepakat piawaian sejagat demi interaksi selamat dalam talian
PEMERINTAH dan pemain industri harus berusaha mencapai kata sepakat global mengenai peraturan dan piawaian bagi memastikan interaksi dalam talian yang stabil dan selamat dalam semua masyarakat, kata Menteri Kanan, Encik Teo Chee Hean.
Ini kemudiannya akan membolehkan pengguna dan perniagaan untuk meraih manfaat daripada kos pematuhan lebih rendah, akses pasaran lebih mudah dan khidmat lebih baik serta dimampui.
Bercakap semasa Sidang Puncak Asia Tech x Singapura semalam, Encik Teo akur bahawa bukan mudah untuk mencapai kesepakatan dalam konsensus global, tetapi semua pihak harus mengambil langkah untuk menjaminnya.
Dalam hal ini, Singapura menyokong sebarang usaha menubuhkan aturan berbilang pihak dalam ruang siber, tekan Encik Teo yang juga Menteri Penyelarasan bagi Keselamatan Nasional.
Menurut Encik Teo, dengan ruang siber yang semakin menembusi setiap pelosok negara, setiap negara juga mempunyai keprihatinan tersendiri mengenai kedaulatan.
Ini bermakna setiap negara mempunyai pandangan sendiri mengenai tuntutan keselamatan sistem, akses data, piawaian kandungan dan campur tangan negara luar.
Justeru, dengan pemahaman lebih mendalam tentang kuasa manipulasi data dan maklumat dalam era digital dan ruang siber, para pengguna dan negara telah meminta perlindungan lebih kukuh dalam penggunaan data di samping pemantauan lebih ketat ke atas kegiatan digital seperti piawaian kandungan demi tujuan keharmonian sosial, kata Encik Teo.
Namun inisiatif pengawalan yang berbeza sama sekali boleh memecah belahkan dunia digital dengan ada negara sudah memutuskan untuk membuat peraturan sendiri atau membentuk kumpulan masing-masing.
"Syarikat-syarikat akan berdepan dengan landskap yang berpecah-pecah dalam pasaran yang berbeza-beza dan pengguna akan berdepan dengan hambatan atau membayar harga lebih tinggi bila mereka mencari khidmat global bersepadu," ujar Encik Teo.
"Kita seharusnya berusaha ke arah kesepakatan global mengenai peraturan, norma dan piawaian bagi memudahkan interaksi dalam talian yang stabil, selamat dan konsisten.
"Pengguna dan perniagaan akan meraih manfaat daripada kos pematuhan lebih rendah, akses pasaran lebih mudah dan khidmat yang lebih baik dan dimampui."
Tambah Encik Teo, walaupun negara besar tidak dapat mencapai kata sepakat, negara-negara kecil boleh juga bertindak.
Misalnya, negara-negara yang berpandangan sama boleh bergabung tenaga dalam Perjanjian Ekonomi Digital (DEA) yang menyelaraskan peraturan dan piawaian digital.
Encik Teo memberi contoh Singapura yang telah merumuskan empat DEA dengan lima negara iaitu Australia, Chile, Korea Selatan, New Zealand dan Britain.
Sementara itu, perjanjian kerjasama ekonomi digital berbilang pihak (Depa) yang dimulakan oleh Singapura, New Zealand dan Chile, kini ingin disertai oleh Korea Selatan, China serta Canada.
Dalam ucapannya itu, Encik Teo juga menekankan perlunya untuk pemerintah bekerjasama dengan syarikat-syarikat gergasi teknologi bagi menghasilkan prinsip dan peraturan selia tadbir bagi mencapai keseimbangan kuasa yang lebih baik.
Di samping itu, negara juga memerlukan penyelarasan lebih baik antara pemerintah serta memastikan pengguna mempunyai pilihan.
"Kita seharusnya berusaha ke arah kesepakatan global mengenai peraturan, norma dan piawaian bagi memudahkan interaksi dalam talian yang stabil, selamat dan konsisten. Pengguna dan perniagaan akan meraih manfaat daripada kos pematuhan lebih rendah, akses pasaran lebih mudah dan khidmat yang lebih baik dan dimampui." - Menteri Kanan, Encik Teo Chee Hean.