UJIAN negatif bagi Covid-19 dan penjejakan kontak merupakan antara protokol yang bakal dilaksanakan apabila Singapura membuka sempadannya bersama China menerusi laluan pantas antara dua negara yang menetapkan perjalanan selamat dengan syarat-syarat tertentu.
Ini bagi memudahkan perjalanan penting untuk penduduk Singapura dan China bagi tujuan rasmi dan perniagaan antara dua negara di tengah-tengah keadaan Covid-19.
Mendedahkan demikian, Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) dan Menteri Ehwal Luar (MFA) dalam kenyataan bersama berkata bahawa aturan itu hanya bagi enam wilayah atau kawasan perbandaran yang secara langsung di bawah pemerintah berpusat China - Shanghai, Tianjin, Chongqing, Guangdong, Jiangsu dan Zhejiang - sebelum ia diperluaskan kepada wilayah mahupun kawasan perbandaran yang lain secara bertahap-tahap.
"Ini merupakan sebahagian pembukaan semula sempadan Singapura secara bertahap-tahap bagi warga Singapura dan penduduk untuk menjalankan kegiatan penting di luar negara dan untuk membenarkan perjalanan selamat bagi warga asing yang masuk ke Singapura dalam jumlah terhad, dengan langkah berjaga-jaga perlu yang ditetapkan untuk memastikan keprihatinan kesihatan awam ditangani," kata MTI.
Dalam pada itu, menyentuh perkembangan terbaru tersebut, Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan menulis di Facebook:
"Perlindungan akan disediakan untuk melindungi penumpang, pekerja pengangkutan udara dan orang awam Singapura. Ujian dan perakuan status kesihatan adalah kunci. Syarikat penerbangan tidak akan membawa mereka yang diuji positif."
Namun, perjalanan bersifat rekreasi mesti ditangguhkan buat masa ini, kata Encik Khaw.
Ini meskipun Singapore Airlines bakal terbang ke 27 bandar pada Jun dan Julai, peningkatan dari 15 bandarnya sekarang.
Ia bergabung dengan syarikat penerbangan Eropah, Asia Timur Laut dan Timur Tengah untuk meningkatkan kapasiti penumpang berjadual di Changi.
"Masih lama sebelum hidup kembali normal, tetapi kita mula melihat sedikit cahaya," tulis Encik Khaw.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg