Topik diikuti
Pergi ke BHkuSistem baru pendaftaran haji menerusi MyHajSg dilaksana
Sistem baru pendaftaran haji menerusi MyHajSg dilaksana
Muis hubungi jemaah untuk kemas kini daftar haji; MyHajSG antara lain bolehkan pendaftar lihat berapa ramai individu di hadapan serta guna Singpass
Sistem baru pendaftaran haji menerusi MyHajSg dilaksana
MAJLIS Ugama Islam Singapura (Muis) sedang dalam proses menghubungi 37,000 pendaftar haji setempat untuk mengesahkan dan mengemas kini butiran mereka dalam sistem pendaftaran haji yang baru.
Seorang jurucakap Muis berkata usaha ini penting untuk memastikan pendaftar boleh dihubungi apabila tiba giliran mereka menunaikan haji.
"Ini amat penting sedang Muis bersiap sedia menyambung semula pendaftaran haji sementara ia mengatasi tunggakan pendaftar yang sedang menanti giliran mereka," ujar jurucakap itu untuk menjawab pertanyaan Berita Harian.
Di peringkat awal pandemik pada Mac 2020, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi telah menasihatkan agensi haji di seluruh dunia supaya berhenti menerima pendaftaran baru atau bayaran berkenaan haji.
Hingga pertengahan bulan ini, Muis masih belum menerima pendaftaran baru, dan akan mengumumkan tentang sambungan semula pendaftaran itu kelak.
Sementara itu, mereka yang telah mendaftar untuk haji sebelum ini akan dimaklumkan secara berperingkat mengikut tarikh pendaftaran mereka.
"Usaha mengemas kini maklumat di sistem pendaftaran haji yang baru telah bermula pada Ogos 2022.
"Pendaftar haji dinasihatkan supaya log masuk sistem itu menggunakan SingPass apabila mereka menerima surat mereka," ujar jurucakap Muis.
Dalam surat yang dihantar kepada pendaftar, Muis memaklumkan tentang sistem baru pendaftaran haji, digelar MyHajSG, yang antara lain membolehkan pendaftar melihat berapa ramai individu di hadapan mereka menurut urutan.
Cik Zuraini Ahmad, 55 tahun, yang telah mendaftar untuk haji pada April 2013, telah menerima surat memaklumkannya tentang sistem pendaftaran haji baru itu pada lewat bulan lalu.
"Sistemnya bagus kerana ia menggunakan SingPass, dan kami percaya ia selamat.
"Ia juga berguna kerana saya boleh lihat berapa ramai orang yang berada di depan saya," ujar Cik Zuraini, seorang penyelia pengilangan, yang mempunyai sekitar 3,000 pendaftar di hadapannya.
Menurut surat yang dihantar kepada pendaftar, sistem pendaftaran baru itu mempunyai ciri-ciri dalam talian yang baru.
Pendaftar boleh log masuk menggunakan Singpass di laman MyHajSG di www.haj.muis.gov.sg untuk melihat status pendaftaran haji mereka pada bila-bila masa.
Individu yang tidak mempunyai akaun Singpass boleh mengunjungi laman www.singpass.gov.sg, atau mengunjungi kelab masyarakat yang terdekat untuk mendapatkan bantuan.
Dalam surat itu lagi, Muis berkata pendaftar yang tidak mengemas kini butiran terkini mungkin tidak akan dimaklumkan apabila tiba giliran untuk menunaikan haji pada masa hadapan.
Muis juga berkata ia tidak dapat memberikan tahun yang pasti bagi pendaftar kerana kuota, peraturan dan syarat seperti had umur mungkin berubah dari tahun ke tahun.
"Waktu menanti giliran anda bergantung pada bilangan tempat yang dikurniakan oleh pihak Arab Saudi setiap tahun.
"Walaupun terdapat kuota rasmi sebanyak 900 tempat setiap tahun, angka ini boleh berubah jika terdapat kejadian seperti pandemik, ataupun bertambah jika terdapat tempat tambahan dengan ihsan pihak Arab Saudi.
"Kami giat berusaha setiap tahun untuk mendapat tempat tambahan demi memberi peluang kepada ribuan jemaah yang telah pun berdaftar di dalam sistem pendaftaran Haji Singapura," kata Muis.
USAHA PASTIKAN PENDAFTAR BOLEH DIHUBUNGI APABILA TIBA GILIRAN
"Ini amat penting sedang Muis bersiap sedia menyambung semula pendaftaran haji sementara ia mengatasi tunggakan pendaftar yang sedang menanti giliran mereka...
Usaha mengemas kini maklumat di sistem pendaftaran haji yang baru telah bermula pada Ogos 2022.
Pendaftar haji dinasihatkan supaya log masuk sistem itu menggunakan SingPass apabila mereka menerima surat mereka."
- Jurucakap Majlis Ugama Islam Singapura.
