Tiga siasatan jenayah dan tatatertib sedang dijalankan ke atas mendiang Sarjan Uvaraja Gopal pada masa beliau membunuh diri.
Ketika itu, siasatan jenayah sedang dijalankan ke atas dirinya bagi kesalahan di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Perlindungan daripada Gangguan.
Sarjan Uvaraja juga sedang di bawah penyiasatan tatatertib dalaman kerana ingkar perintah, yang timbul daripada insiden pada Julai 2023.
Pada April 2023, beliau disiasat kerana ingkar perintah - beliau meninggalkan kerjanya yang belum siap tanpa pengawasan dan enggan mematuhi arahan apabila disuruh pulang untuk menyelesaikan tugasan. Beliau hanya berbuat demikian selepas diberitahu kali ketiga.
Sarjan Uvaraja juga sedang menangani beberapa isu peribadi seperti masalah kesihatan dan keluarga.
Demikian didedahkan Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K Shanmugam, ketika menyampaikan Kenyataan Menteri di Parlimen pada 6 Februari berkenaan isu kematian Sarjan Uvaraja pada 2023.
Menurut beliau, sepanjang kerjaya Sarjan Uvaraja dengan Pasukan Polis Singapura (SPF), beliau sering memohon cuti perubatan “bagi tempoh yang selalunya menjangkau beberapa bulan dalam setahun”.
Dalam beberapa tahun, Sarjan Uvaraja juga telah memohon cuti tanpa gaji, untuk menguruskan masalah kesihatan selepas beliau menghabiskan sepenuhnya hak cuti bergajinya.
Sarjan Uvaraja berdepan tekanan psikologi dan insomnia kronik iaitu keadaan tidak dapat tidur.
Beliau juga menunjukkan simptom kegelisahan dan kemurungan.
Di samping itu, Sarjan Uvaraja mempunyai hubungan tegang dengan isteri dan juga keluarganya sendiri.
Ketegangan itu telah beberapa kali mengakibatkan anggota keluarganya menghubungi polis.
Memberi penerangan lanjut, Encik Shanmugam berkata pada April 2023, isteri Sarjan Uvaraja menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan ekoran salah satu pertengkaran di rumah mereka. Isterinya telah dihalang daripada meninggalkan rumah tersebut oleh Sarjan Uvaraja.
Pada 13 Julai 2023, polis menerima beberapa panggilan mendapatkan bantuan daripada rumah ibu bapa Sarjan Uvaraja.
“Abangnya mendakwa Uvaraja telah menyerangnya atas sebab kewangan. Pada 14 Julai 2023, iaitu hari berikutnya, ibu Uvaraja membuat laporan polis terhadap Uvaraja mengatakan beliau bimbang akan keselamatan dirinya
“Pada hari yang sama, kakak ipar Uvaraja menghubungi polis kerana Uvaraja telah datang ke rumah untuk mencari ibu bapa Uvaraja,” ujar Encik Shanmugam.
Beliau berkata SPF telah memberi sokongan profesional kepada mendiang dalam pelbagai bentuk.
Ini termasuk membenarkannya mengambil bilangan cuti yang banyak sepanjang beberapa tahun.
“Dari 2014 hingga 2023, Uvaraja mengambil purata kira-kira 120 hari cuti setiap tahun. Ini adalah di luar kelayakan cuti biasa dan lebih daripada apa yang akan diperolehi oleh seorang pegawai polis biasa,” jelas Encik Shanmugam.
Pada beberapa tahun sejak 2015 pula, Sarjan Uvaraja telah mengambil lebih 50 hari cuti sakit, dan pada 2015, 2016 dan 2022, beliau mengambil lebih 100 hari cuti tanpa gaji.
Selain itu, sejak 2016, orang atasannya telah mengaturkan bantuan kaunseling dan psikologi untuknya.
Malah, pada Januari 2023, apabila Sarjan Uvaraja melaporkan mengalami tekanan kerja, seorang para-kaunselor ditugaskan membantunya.
“Adalah wajar untuk mengatakan bahawa ramai pegawai (polis) sedih melihat rakan sekerja mereka meninggal dunia seperti ini. Tetapi terdapat juga perasaan yang agak besar dalam kalangan pegawai yang membantunya bahawa walaupun banyak yang dilakukan untuknya... beliau menzahirkan ketidakpuasannya terhadap rakan sekerjanya dan SPF. Ada kesedihan di situ,” ujar Encik Shanmugam.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg