Topic followed successfully
Go to BHkuS'pura berada di landasan betul kawal Covid-19: Ye Kung
S'pura berada di landasan betul kawal Covid-19: Ye Kung
Kes sah Covid-19 semasa kuarantin naik daripada 57 peratus kepada 73 peratus
S'pura berada di landasan betul kawal Covid-19: Ye Kung
SINGAPURA berada di landasan yang betul dalam usahanya mengawal wabak Covid-19, kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung, merujuk bilangan kes jangkitan yang semakin berkurangan sejak minggu lalu.
Kelmarin, Encik Ong menulis di media sosialnya bahawa bilangan jangkitan keseluruhan bagi tujuh hari kebelakangan telah turun berbanding minggu sebelumnya, sedang jumlah mereka yang dikesan dijangkiti Covid-19 semasa dalam kuarantin naik daripada 57 peratus kepada 73 peratus.
"Ini bererti terdapat peluang yang sangat kecil bagi mereka bergerak dan menjangkiti orang lain," katanya.
Beliau menambah bilangan kes yang tiada kaitan juga telah berkurang daripada 18 peratus kepada 15 peratus.
Pada Ahad, sebanyak 20 kes jangkitan dilaporkan, enam daripadanya merupakan jangkitan dalam masyarakat.
Daripada enam kes itu, hanya satu tiada kaitan.
Lagi 14 merupakan kes import.
Kes yang tiada kaitan itu merupakan pelajar Sekolah Perempuan Methodist Paya Lebar yang berusia 13 tahun.
Dia mendapati dirinya kehilangan deria bau pada 29 Mei lalu tetapi tidak berjumpa doktor sehingga Jumaat lalu.
Ujian Covid-19 didapati positif pada Sabtu lalu.
Lagi lima kes jangkitan dalam masyarakat berkaitan dengan pesakit yang telah dilaporkan sebelum itu dan mereka semua sudah dikuarantin.
Dua daripada mereka merupakan kanak-kanak yang dikaitkan dengan kelompok pembekal mesin dan peralatan industri Tektronix Southeast Asia, yang kini mempunyai tujuh kes.
Mereka merupakan anggota keluarga serta kontak yang tinggal serumah dengan pesakit yang pernah dilaporkan sebelum itu.
Sementara itu, seorang pengendali mesin berusia 50 tahun telah disenaraikan dalam kelompok NTUC Foodfare (308 Anchorvale Road), menjadikan kelompok tersebut seramai 12 orang.
Penghantar makanan berusia 29 tahun yang bekerja di Pizza Hut (Bukit Merah) dan menetap di Hostel Wanderloft Capsule pula disenaraikan sebagai sebahagian kelompok penghantar makanan McDonald's, yang seramai 23 orang.
Seorang wanita berusia 79 tahun pula dikaitkan dengan kelompok baru seramai tiga orang yang antaranya termasuk seorang pesara berusia 82 tahun.
Enam kes dalam masyarakat yang dilaporkan kelmarin merupakan jumlah terendah sejak 10 Mei, lapor The Straits Times.
Sebanyak tiga kes dalam masyarakat dilaporkan pada hari tersebut.
Secara keseluruhan, bilangan kes baru dalam masyarakat jatuh kepada 116 kes pada minggu lalu daripada 136 kes pada minggu sebelumnya.
Bilangan kes dalam masyarakat yang tiada kaitan juga turun daripada 23 kepada 17 kes dalam tempoh yang sama.
Kelompok Hospital Tan Tock Seng dan Pasir Panjang juga telah ditutup kerana tiada lagi kes baru yang dikaitkan dengannya selama 28 hari.
Dalam pada itu, pusat beli-belah Jem dan Westgate yang telah dibuka semula pada 6 Jun lalu kepada orang ramai agak lengang hujung minggu lalu.
Kedua-dua pusat beli-belah itu ditutup selama dua minggu sejak 23 Mei lalu bagi mengawal "kemungkinan penularan yang berterusan" Covid-19 dalam kalangan pengunjung, kata Kementerian Kesihatan (MOH) sebelum ini.
Sehingga 5 Jun, 63 kes telah dikaitkan dengan kelompok Jem dan Westgate.
"Ini bererti terdapat peluang yang sangat kecil bagi mereka (yang dikuarantin dah sah positif Covid-19) bergerak dan menjangkiti orang lain." - Menteri Kesihatan Ong Ye Kung, merujuk kepada peningkatan kes sah Covid-19 yang dikesan semasa kuarantin.

