SEJUMLAH 305 kes baru jangkitan Covid-19 dilaporkan sehingga 12 tengah hari ini.
Menurut Kementerian Kesihatan (MOH), sebahagian besar adalah pemegang Permit Kerja di asrama.
Dua kes melibatkan warga Singapura/Penduduk Tetap.
Menurut MOH, jumlah yang rendah hari ini disebabkan jumlah ujian yang kurang diproses.
"Ini memandangkan salah satu makmal ujian sedang disemak pemprosesannya selepas satu isu berkenaan kalibrasi peralatan dijalankan, dan ia memerlukan masa untuk meningkatkan keupayaan ujian pemprosesannya," kata kementerian itu.
MOH akan memberikan butiran lanjut malam nanti.
Malam tadi, MOH menyatakan seramai 998 pesakit telah dibenar pulang dari hospital atau kemudahan pengasingan masyarakat, menjadikan angka keseluruhan yang dibenar pulang 9,340 pesakit.
Jumlah kes Covid-19 di Singapura kini adalah 28,343.
Sejumlah 22 pesakit telah meninggal dunia akibat Covid-19.
Lagi sembilan orang yang diuji positif meninggal dunia akibat sebab lain.
Penularan Covid-19 yang bermula Disember lalu kini telah menjangkiti lebih 4.72 juta orang di serata dunia, menurut dapatan agensi berita Reuters sehingga 3.20 petang ini.
Ia telah mengorbankan lebih 312,000 orang di serata dunia.
Seramai 1.7 juta orang di seluruh dunia telah sembuh dari Covid-19.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg