Topic followed successfully
Go to BHkuS'pura harus kekal pendekatan konsisten Amerika-China
S'pura harus kekal pendekatan konsisten Amerika-China
S'pura harus kekal pendekatan konsisten Amerika-China
SINGAPURA perlu terus mengekalkan pendekatan konsisten dan berprinsip dalam mengendali hubungan dengan Amerika Syarikat dan China, sedang hubungan antara dua adikuasa itu semakin terjejas, kata Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan.
"Bagi adikuasa untuk cuba mempengaruhi pihak lain dalam cara pemikiran mereka adalah perkara biasa. Tetapi bagi Singapura atau mana-mana negara untuk memilih bagi diri kita sendiri, daripada dipaksa untuk mengambil keputusan oleh pihak lain, juga satu perkara biasa," ujar Dr Balakrishnan.
Beliau berkata demikian dalam perbahasan belanjawan Kementerian Ehwal Luar (MFA) di Parlimen semalam.
Dalam hal ini, Singapura akan melaksanakan hak kedaulatannya, dengan menghormati aturan berbilang hala berdasarkan peraturan dan undang-undang antarabangsa.
Singapura juga akan terus memelihara kebebasan dan identiti uniknya sebagai negara berbilang kaum dan budaya di tengah-tengah Asia Tenggara.
Dalam ucapannya sebelum itu, Dr Balakrishnan berkata hubungan antara Amerika dengan China yang semakin terjejas merupakan antara risiko yang dihadapi Singapura sedang dunia mengatasi kesan pandemik.
Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar), Encik Chee Hong Tat, pula berkata meskipun Singapura negara kecil, ini tidak bermakna negara ini tidak mempunyai pengaruh dari segi ehwal luar.
Sedang Amerika memainkan peranan penting dalam mengekalkan keselamatan dan kestabilan rantau ini, pembangunan China pula membawa peluang baru.
"Amerika dan China bersaing dalam beberapa bidang, tetapi ada beberapa bidang yang mereka boleh kerjasama, khususnya dalam mengatasi pelbagai cabaran rentas negara," ujar Encik Chee.
Katanya lagi, dasar ehwal luar Singapura harus sentiasa berdasarkan kepentingan negara.
Sedang Singapura menjalin hubungan baik dengan semua negara, adakalanya kedudukan negara ini akan bertentangan dengan negara lain.
"Yang penting adalah bagi kami untuk mencari wadah yang sesuai untuk menghuraikan perselisihan ini secara baik, dengan mendekati satu sama lain secara membina, dan jika boleh mencapai kompromi yang saling boleh diterima," ujar Encik Chee.
Dalam perbahasan belanjawan itu pula, Encik Alex Yam (GRC Marsiling-Yew Tee) pula bertanya apakah yang boleh dilakukan untuk memperkukuh daya tahan warga tentang kedudukan dasar luar Singapura, sedang negara lain mungkin cuba mempengaruhi sentimen menerusi kempen pengaruh.
Memberi respons, Dr Balakrishnan akur dasar ehwal bermula di negara sendiri, dan mengingatkan orang ramai untuk menyoal apa-apa pos media sosial berkenaan isu-isu ini.
"Sentiasa bertanya dari manakah asal usul pos itu. Itu soalan pertama. Soalan kedua, apa faktanya. Soalan ketiga siapakah yang akan meraih manfaat atau mengalami kerugian daripada perspektif yang dikemukakan itu. Apakah kepentingan jangka panjang Singapura," ujar Dr Balakrishnan.

