Singapura dan Jordan sedang membincangkan usaha untuk memperdalam kerjasama dalam bidang pendidikan, latihan vokasional, promosi pelaburan dan tenaga hijau, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Beliau menyatakan demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Raja Jordan, Raja Abdullah Ibni Al Hussein, di Istana pada 14 November.
Encik Wong berkata kedua-dua pemimpin telah mengesahkan semula kerjasama dua hala yang kukuh.
“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Raja Abdullah di atas keramahan Jordan bagi para pelajar kita meneruskan pengajian pembelajaran Islam di Amman dan Irbid,” kata Encik Wong dalam satu catatan Facebook.
Pada masa yang sama kededua mereka juga mengadakan perbincangan mengenai situasi di Gaza.
Ini termasuk peranan Jordan memudahkan misi kemanusiaan Singapura bagi mangsa konflik di Gaza.
Encik Wong berkata: “Jordan memainkan peranan penting dalam (misi) kemanusiaan, dan kami berterima kasih atas kerjasama erat ini.
“Ini merangkumi operasi gabungan dengan Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) hinggalah usaha yang diterajui masyarakat, seperti sumbangan produk prostetik dan bantuan perubatan bagi mangsa amputasi di Gaza di bawah inisiatif Mengembalikan Harapan yang diketuai Jordan.”
Singapura telah menyumbang produk prostetik bernilai $250,000 bagi membantu mangsa amputasi Palestin yang terjejas akibat konflik di Gaza.
Sumbangan itu merangkumi penyelesaian prostetik lengkap, yang akan memanfaatkan 100 mangsa amputasi.
Ia telah disalurkan melalui Pertubuhan Amal Jordan Hashemite (JHCO) pada 11 November.
Raja Abdullah berada di Singapura untuk lawatan kerja dari 13 hingga 14 November, menurut kenyataan Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada 13 November.
Semasa di sini, Raja Abdullah turut bertemu Presiden Tharman Shanmugaratnam di Istana pada 14 November, dengan MFA menyatakan kededua pemimpin negara berbincang mengenai kerjasama dalam pendidikan dan perdagangan serta pelaburan, perkembangan di Gaza dan proses damai Timur Tengah.
MFA menambah Jordan bekerjasama dengan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dalam Sijil Possiswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS) dan Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS).
Tuan Presiden, dalam satu catatan Facebook, memuji kepimpinan Jordan dalam menamatkan kehilangan banyak nyawa dan kemusnahan besar-besaran di Gaza, memudahkan bantuan kemanusiaan bagi Gaza, dan memajukan prospek keamanan yang berkekalan.
“Jordan telah membina dua hospital medan tentera di Gaza dan melancarkan inisiatif Mengembalikan Harapan yang tertumpu pada pemasangan prostesis bagi mangsa amputasi di Gaza.
“Singapura baru-baru ini mendermakan bekalan prostetik bagi menyokong inisiatif ini dan (kami) berharap agar dapat mempergiatkan lagi usaha bersama Jordan untuk membina semula sinar harapan (bagi Gaza),” ujar Tuan Presiden.
Dalam satu kenyataan menerusi laman rasmi Raja Jordan pada 14 November, Raja Abdullah berkata beliau melahirkan penghargaannya atas sokongan Singapura membantu Jordan dalam bidang teknologi, membina keupayaan penjawat awam dan latihan vokasional.
Beliau juga memuji usaha bersama Singapura dan Jordan terhadap misi kemanusiaan di Gaza melalui JHCO dan inisiatif Mengembalikan Harapan, sambil menekankan peri pentingnya untuk meneruskan usaha tersebut.
Selain itu, Encik Wong juga mengadakan jamuan tengah hari bersama Raja Abdullah serta delegasi Jordan yang dianggotai antara lain, Penasihat Utama bagi Ehwal Agama dan Kebudayaan dan Utusan Peribadi Raja Abdullah, Putera Ghazi Muhammad: Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Ehwal Luar dan Ekspatriat, Encik Ayman Safadi: serta Menteri Ekonomi Digital dan Keusahawanan, Encik Sami Smeirat.
Jamuan tengah hari itu disertai barisan kepimpinan kanan Singapura termasuk Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, dan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Dalam satu catatan Facebook pada 14 November, Dr Faishal berkata ramai pelajar madrasah Singapura melanjutkan pengajian Islam di luar negara, termasuk Jordan, di institusi seperti Universiti Yarmouk dan Universiti Jordan.
Beliau, yang baru-baru ini telah mengadakan lawatan kerja ke Jordan, berkata institusi sedemikian telah melahirkan ramai asatizah yang kini berkhidmat di masjid-masjid dan madrasah di sini.
Dr Faishal, yang juga Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), berkata:
“Hubungan dua hala ini terus diperkukuh melalui kerjasama dengan Profesor Dr Abdul Rahman Kilani, Dekan Fakulti Syariah, Universiti Jordan, yang merupakan juga ahli Panel Penasihat Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS).
“Bersama, kami berhasrat untuk membangunkan barisan pemimpin agama masa hadapan yang berpegang teguh pada ajaran Islam serta bersedia membimbing masyarakat majmuk Singapura dengan yakin, bijaksana dan penuh hikmah.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg