Topik diikuti
Pergi ke BHkuS'pura, Kazakhstan perkukuh hubungan
S'pura, Kazakhstan perkukuh hubungan
SINGAPURA dan Kazakhstan mengukuhkan semula hubungan mesra dan terjalin lama ketika kedua-dua negara memperingati ulang tahun ke-30 hubungan diplomatik tahun depan.
Ini dilakukan ketika Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman yang kini berada di Astana, Kazakhstan bertemu Presiden Kassym-Jomart Tokayev semalam, menurut satu kenyataan Kementerian Ehwal Luar (MFA).
Menurut MFA, Presiden Tokayev mengalu-alukan penyertaan Singapura sebagai tetamu di Sidang Puncak Ke-6 Persidangan mengenai Interaksi dan Langkah-langkah Membina Keyakinan di Asia (CICA).
"Presiden Tokayev menggalakkan syarikat Singapura meneroka peluang di Kazakhstan, khususnya dalam sektor pengangkutan dan logistik.
Dr Maliki bersetuju bahawa terdapat skop untuk hubungan ekonomi serta rakyat dengan rakyat yang lebih kukuh yang akan dirangsang oleh perhubungan yang lebih baik.
Beliau menambah bahawa Singapura tidak sabar untuk menjadi tuan rumah kepada Presiden Tokayev bagi Lawatan Negara pada masa yang sesuai.
Dr Maliki juga bertemu Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Integrasi Perdagangan, Encik Serik Zhumangarin, membincangkan bidang kerjasama yang berpotensi seperti ketersambungan rantaian bekalan dan pendigitalan.
Mereka mengalu-alukan kemajuan yang dibuat dalam rundingan mengenai Perjanjian Perkhidmatan dan Pelaburan di bawah rangka kerja Kesatuan Ekonomi Eurasia - Perjanjian Perdagangan Bebas Singapura.
Secara berasingan, Dr Maliki juga bertemu Menteri Sains dan Pendidikan Tinggi Nurbek Sayasat dan telah bertukar-tukar pandangan tentang cabaran pendidikan di tengah-tengah perubahan pesat dalam kemahiran dan teknologi. Beliau mengalu-alukan minat Kazakhstan untuk belajar daripada pengalaman Singapura dalam bidang latihan kemahiran dan pembelajaran sepanjang hayat.
Dr Maliki telah menghadiri majlis makan malam yang dihoskan oleh Gabenor Pusat Kewangan Antarabangsa Astana Dr Kairat Kelimbetov. Mereka bertukar pandangan mengenai perkembangan terkini dalam ekonomi global.