SINGAPURA komited dalam menjalin kerjasama dengan kumpulan 20 negara (G20) , Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan masyarakat antarabangsa bagi menangani penularan wabak koronavirus yang kini melanda dunia.
Dalam kenyataannya tengah malam tadi, Kementerian Kesihatan (MOH) menyatakan iltizam itu dinyatakan Menteri Kesihatan, Encik Gan Kim Yong, semasa menghadiri persidangan televideo dengan Menteri-Menteri Kesihatan G20 semalam atas undangan Arab Saudi, selaku pengerusi kumpulan tersebut.
Persidangan itu diadakan bagi membolehkan para pemimpin negara bertukar-tukar pandangan tentang keadaan Covid-19 di seluruh dunia dan membincangkan keutamaan kesihatan di bawah Kepimpinan Saudi G20 yang bertemakan Kesiapsiagaan Pandemik, Penjagaan Kesihatan Berteraskan Nilai, Kesihatan Digital, Keselamatan Pesakit dan Penentangan Antimikrobial.
Menurut MOH, Encik Gan dalam ucapannya telah mengongsi respons Singapura terhadap penularan virus Covid-19 dan menekankan pentingnya menangani kesihatan awam, kesan ekonomi dan sosial pandemik.
"Beliau juga menggesa negara-negara untuk mendakapi kerjasama antarabangsa lebih kukuh dan bersatu padu semasa krisis dunia yang luar biasa ini," menurut MOH dalam kenyataannya.
G20 ditubuhkan pada 26 September 1999 sebagai wadah baru untuk kerjasama antarabangsa, terutamanya dalam soal kewangan dan isu-isu besar dihadapi dunia.
Ia terdiri daripada Arab Saudi, Argentina, Amerika Syarikat, Australia, Britain, China, Brazil, Kanada, Perancis, Kesatuan Eropah, Jerman, India, Indonesia, Jepun, Italy, Persekutuan Russia, Afrika Selatan, Korea Selatan, Mexico dan Turkey.
Selain mereka, turut terlibat dalam G20 adalah pengarah urusan dan pengerusi Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Presiden Bank Dunia, Jawatankuasa Wang dan Kewangan Antarabangsa dan Pengerusi Jawatankuasa Bantuan Pembangunan.
Badan ini mengkaji dan menggalak dialog antara negara-negara industri dalam isu dasar kestabilan kewangan antarabangsa, dan cuba menangani isu-isu bukan tanggungjawab pertubuhan lain.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg