Ketelusan tentang di mana dan bagaimana kandungan dijana adalah penting dalam usaha sejagat dalam menentang maklumat salah, yang telah diburukkan lagi oleh kecerdasan buatan generatif (gen AI).
Hal itu juga merupakan salah satu daripada sembilan bidang yang digariskan dalam rangka kerja etika untuk gen AI yang dilancarkan pada 30 Mei, lapor The Straits Times (ST).
Dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat, Rangka Kerja Tadbir Urus Model untuk AI Generatif bertujuan menangani kebimbangan mengenai teknologi baru muncul itu, yang telah menarik perhatian dunia sejak lewat 2022 dek keupayaannya untuk mencipta kandungan realistik dengan cepat.
“Tadbir urus yang baik adalah penting. Dengan adanya panduan yang betul, kami mewujudkan keadaan untuk berinovasi dengan selamat, bertanggungjawab dan untuk tujuan bersama,” kata Encik Heng.
Beliau berkata demikian semasa berucap di majlis perasmian acara tahunan Asia Tech x Singapore yang keempat, di hotel Capella Singapore di Sentosa.
“Sifat teknologi tanpa sempadan juga bermakna ia mesti menjadi usaha bersama,” tambahnya.
Dibangunkan oleh Yayasan Pengesahan AI dan Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA), rangka kerja itu mengenal pasti sembilan bidang – termasuk kebertanggungjawaban, data yang dipercayai untuk latihan AI dan sumber kandungan – aspek tadbir urus gen AI boleh diperkukuh.
Rangka kerja itu yang dibangunkan melalui perundingan dengan sekitar 70 organisasi termasuk gergasi teknologi, Microsoft dan Google, serta agensi pemerintah seperti Jabatan Perdagangan Amerika Syarikat, juga mengimbangi keperluan bagi memudahkan inovasi.
Dalam bidang data yang dipercayai, misalnya, rangka kerja tersebut meminta penggubal dasar agar menghuraikan bagaimana undang-undang data peribadi sedia ada digunakan untuk gen AI, yang sering memperolehi banyak data.
Ia turut menyarankan agar pemerintah bekerjasama dengan masyarakat untuk menyusun repositori set data latihan yang berkaitan mengikut konteks khusus, contohnya seperti dalam “bahasa dengan sumber yang rendah”.
Bahasa sedemikian merujuk kepada bahasa yang mempunyai kurang data yang tersedia untuk melatih sistem AI dalam bentuk perbualan.
Sebagai contoh, bahasa Inggeris, Cina, Sepanyol, Perancis, Jepun dan sebagainya adalah bahasa yang disifatkan sebagai mempunyai sumber yang banyak dan boleh diakses oleh lebih ramai orang.
Rangka kerja itu juga mengenal pasti kandungan sebagai bidang yang membimbangkan.
Ia merujuk kepada betapa kian sukarnya bagi orang ramai mengenal pasti kandungan yang dijana gen AI, disebabkan oleh keupayaan teknologi itu untuk mencipta kandungan realistik dengan pantas.
Rangka kerja baru itu dibina berdasarkan idea dasar yang diketengahkan dalam kertas perbincangan IMDA 2023 tentang gen AI dan juga mengambil maklum balas antarabangsa hasil perbincangan dengan penyelidik dan organisasi AI.
Ia juga akan diselaraskan dengan prinsip AI antarabangsa, seperti Proses AI Hiroshima yang diumumkan semasa sidang kemuncak Kumpulan Tujuh 2023.
Ini termasuk mengusulkan pembangunan rangka kerja tadbir urus AI dengan piawaian sejagat yang boleh dikendalikan.
“
“Tadbir urus yang baik adalah penting. Dengan adanya panduan yang betul, kami mewujudkan keadaan untuk berinovasi dengan selamat, bertanggungjawab dan untuk tujuan bersama... Sifat teknologi tanpa sempadan juga bermakna ini mesti menjadi usaha bersama.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg