KEADAAN di tempat-tempat tumpuan ramai lengang dan sepi semalam - hari pertama arahan 'Pemutus Litar' dilaksanakan.
Kunjungan ke kawasan yang sibuk dengan orang ramai dan pelancong berubah sama sekali. Hanya segelintir orang sahaja dilihat lalu-lalang.
Warga Singapura kelihatan rata-rata menuruti arahan yang dikeluarkan Pemerintah agar rakyat membataskan pergerakan.
Tidak lagi kelihatan orang ramai 'melepak' di kedai-kedai kopi. Hanya pembelian makanan secara bungkus atau tempahan pengiriman sahaja dibenarkan.
Sedang orang ramai diarah bekerja dari rumah, suasana di Shenton Way dan sekitar pusat bandar juga lengang.
Begitu juga di Marina Bay, yang selalunya menjadi tempat tumpuan pelancong.
Keadaan di pusat tumpuan terbaharu, Jewel, di Lapangan Terbang Changi, juga menampakkan keadaan serupa.
Langkah lebih ketat diambil sedang Singapura berusaha gigih mengekang penularan Covid-19.
Semalam, Kementerian Kesihatan melaporkan 106 kes baru, dengan 103 daripadanya merupakan kes tempatan sedang tiga lagi adalah kes import.
Secara keseluruhannya, republik ini menghadapi sejumlah 1,481 kes koronavirus.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg