SINGAPURA telah menyumbang sejumlah 122,400 dos vaksin AstraZeneca Covid-19 ke Batam dan wilayah Kepulauan Riau (Kepri) di Indonesia, sebagai satu kerjasama erat dua hala dalam memerangi pandemik.

Menteri di Pejabat Perdana Menteri yang juga Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan), Dr Mohamad Maliki Osman, telah menyerahkan bekalan vaksin itu kepada Duta Indonesia ke Singapura, Encik Suryo Pratomo di Pelabuhan Jurong semalam, menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA).

Bekalan itu dijadualkan tiba di Pelabuhan Batu Ampar di Batam hari ini.

Sumbangan dos vaksin AstraZeneca, yang diperolehi Singapura di bawah inisiatif Covax, adalah sebahagian daripada langkah Singapura bagi menyokong usaha serantau dan global terhadap Covid-19.

Berucap dalam acara itu, Dr Maliki berkata sumbangan terkini itu mencerminkan kerjasama erat yang sekian lama terjalin di antara Singapura dengan Indonesia, khususnya dalam menangani pandemik.

"Adalah penting untuk kita terus bekerjasama supaya kita dapat bangkit daripada cabaran luar biasa ini yang disebabkan oleh Covid-19.

"Sebagaimana yang kita sudah lihat daripada penularan berterusan varian lebih mudah berjangkit, Covid-19 adalah satu realiti yang kita harus hidup bersamanya dari semasa ke semasa.

"Sedang kita harungi masa sukar ini, saya gembira bahawa hubungan di antara Singapura dengan Indonesia kekal erat dan kukuh."

Menurut Dr Maliki, dalam menghadapi kesukaran, kededua negara telah menunjukkan komitmen untuk saling menyokong satu sama lain.

Paling terkini, Singapura telah mengirimkan 500 tan oksigen cecair ke Indonesia manakala Indonesia telah membantu dalam pengiriman barangan keperluan untuk kemudahan penjagaan masyarakat di awal pandemik.

"Kededua Singapura dan Indonesia juga mengambil langkah memastikan keselamatan dan kesejahteraan penduduk kita dan rantau ini dengan memvaksin para penduduk kita," tambah Dr Maliki.

Sebelum ini, Singapura telah memberikan 122,400 dos vaksin AstraZeneca serta bekalan perubatan kepada Thailand.

Duta Singapura di Bangkok, Encik Kevin Cheok, telah menyerahkan barangan itu yang termasuk 200,000 ujian diagnostik dan 500,000 swab hidung kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kesihatan Awam, Thailand, Encik Anutin Charnvirakul kelmarin.

Pada Mac tahun lalu, pemerintah Singapura juga menyumbang AS$500,000 ($730,000) bagi menyokong Pelan Respons dan Persiapan Strategik bagi Covid-19 di bawah Pertubuhan Kesihatan Sedunia.