Topic followed successfully
Go to BHkuSudahlah terpisah gara-gara Covid-19, isteri di Johor pula dijangkiti
Sudahlah terpisah gara-gara Covid-19, isteri di Johor pula dijangkiti
Pekerja JTC asal M'sia hanya mampu berdoa dari sini, bersyukur ahli keluarga akhirnya sembuh
Sudahlah terpisah gara-gara Covid-19, isteri di Johor pula dijangkiti
Ramai rakyat Malaysia yang pulang ke sana apabila Covid-19 melanda akhirnya memutuskan kembali ke Singapura untuk menyambung pekerjaan di sini. Sejak itu, demi mencari rezeki, mereka terpisah dari orang tersayang di seberang Tambak.
SEDANG Encik Muhamad Izzudin Jalalludin terkandas di Singapura gara-gara Covid-19, isteri beliau di Johor Bahru (JB) disahkan dijangkiti virus itu.
Isteri beliau dirawat di hospital lebih sebulan kerana mengalami komplikasi daripada penyakit itu.
"Bayangkan saya yang berada di Singapura dalam keadaan tidak menentu apabila isteri dijangkiti Covid-19 dan berada di hospital.
"Setelah itu, adik lelaki dan ibu mentua saya juga dijangkiti Covid-19. Ahli lain keluarga kami pula terpaksa menjalani kuarantin selama 14 hari.
"Saya di Singapura hanya mampu berdoa dan menghubungi keluarga untuk mendapatkan maklumat tentang mereka setiap hari.
"Alhamdulilah isteri dan keluarga saya telah pulih daripada jangkitan Covid-19. Kejadian yang berlaku empat bulan lalu itu amat mencabar ketahanan mental saya untuk mengharungi kehidupan di Singapura seorang diri '' ujar Encik Izzudin, 29 tahun.
Menurut beliau, isterinya, seorang guru sambilan, dijangkiti Covid-19 ketika memberi tuisyen kepada seorang murid yang telah dijangkiti. Ibu murid itu bekerja di hospital.
"Walaupun isteri saya sudah sembuh, dia tinggal seorang diri di Taman Bukit Indah di JB dan keadaan kesihatannya tidaklah pulih sepenuhnya kerana dia menghidap lupus.
"Dia masih sakit-sakit, kadang-kadang demam sedikit. Saya tahu betapa sukarnya kehidupan isteri saya seorang diri di JB.''
Encik Izzudin, yang bekerja sebagai jurutera sokongan komputer meja di JTC di Jurong East, menyewa sebuah bilik di Hougang pada kadar sewa $600 sebulan.
Beliau bekerja di Singapura sejak tujuh tahun lalu dan berulang-alik antara JB dn Singapura menaiki motosikal sebelum Covid-19 melanda.
Pada mulanya, lulusan Universiti Selangor dalam teknologi maklumat itu terkandas di JB pada Februari tahun lalu apabila perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksana di Malaysia.
Beliau terpaksa bekerja dari rumah di JB. Namun pada Jun lalu, laptopnya mengalami masalah untuk menampung urusan kerja. Encik Izzudin kemudian berurusan kerja menerusi aplikasi Whatsapp.
Namun, beliau tidak dapat meneruskan kerja dari rumah di JB kerana perlu hadir dipejabat bagi urusan kerja berkaitan dengan keselamatan klien.
Dengan itu, syarikatnya mahu beliau kembali ke Singapura dan pada September lalu beliau dibenarkan masuk ke sini.
Apabila masuk ke Singapura, beliau dikuarantin tujuh hari dan membayar sekitar $2,000 bagi kos penginapan kuarantin.
Encik Izzudin tidak membawa motosikalnnya ke sini dan sekarang berulang-alik antara tempat kerja di Jurong dan Hougang menaiki pengangkutan awam.
"Setiap malam saya pasti akan buat panggilan video dengan isteri saya. Sambil makan malam, kami berbual hampir satu jam setiap hari. Kami memberi sokongan kepada satu sama lain.
"Kami tahu ini adalah norma baru bagi pasangan suami isteri seperti kami, yang dipisahkan oleh sempadan negara.
"Jika di Malaysia tidak boleh rentas negeri, kami tidak boleh rentas negara. Kami terima seadanya dan moga kami akan terus bertahan keadaan ini bersama,'' ujar beliau.

