SEBANYAK 14 kursus dalam talian percuma akan ditawarkan kepada orang ramai ketika tempoh Covid-19 ini.
Sebagai sebahagian inisiatif Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), dengan kerjasama rakan organisasinya, kursus pembelajaran dalam talian (e-learning) itu akan diadakan menerusi wadah UniLearn SUSS.
Mereka yang berminat akan mendapat akses percuma ke kursus khas dalam bidang seperti kesejahteraan gaya hidup, digitalisasi dan pengurusan perniagaan sehingga 31 Mei ini.
Dalam kenyataannya hari ini, SUSS berkata, kursus khas ini dipilih berdasarkan kemahiran yang paling diperlukan pada masa ini untuk menangani cabaran yang dihadapi semasa pandemik Covid-19.
Pengarah, Pembelajaran Dalam Talian SUSS, Profesor Madya Lee Wee Leong berkata;
"Kami gembira dapat menyumbangkan kepakaran kami dalam e-pembelajaran dan pedagogi yang relevan yang dapat diterapkan di dunia nyata.
"Kami mengajak semua orang untuk mengambil kesempatan ini untuk meningkatkan diri mereka dan semoga ini dapat memberi manfaat kepada Singapura dari segi ekonomi dan sosial, dalam kita mengharungi masa yang mencabar ini."


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg