SINGAPURA meneruskan usahanya menggunakan sumber tenaga lebih bersih dan mapan dengan syarikat milik Temasek, Pavilion Energy, menandatangani perjanjian jual beli 10 tahun dengan pengeluar gas asli cecair (LNG), Qatar Petroleum, pada Isnin (9 Nov).
Qatar Petroleum akan menyediakan sehingga 1.8 juta tan LNG setiap tahun kepada Singapura bermula 2023, lapor The Straits Times.
Setiap kargo LNG yang dihantar di bawah perjanjian itu akan disertakan dengan pernyataan mengenai pengeluaran gas rumah hijau yang berkaitan dengan penghantaran itu.
Kerjasama tersebut bukan sahaja meningkatkan bekalan LNG Singapura, tetapi juga menyumbang kepada pengembangan strategi gas asli yang lebih mampan.
Pengerusi Pavilion Energy, Tan Sri Mohd Hassan Marican, berkata perjanjian itu bukan sahaja membuktikan kebolehan Qatar Petroleum menyediakan LNG kepada Singapura secara berdaya saing dan boleh dipercayai, tetapi juga merupakan langkah berani menuju ke arah peralihan tenaga.
"Kerjasama ini akan mengukuhkan pasaran utama Singapura dan peranan kami sebagai pedagang tenaga global," kata Tan Sri Hassan.
Di acara menandatangani perjanjian tersebut, Menteri Kedua Perdagangan dan Perusahaan Tan See Leng berkata perjanjian itu merupakan "pembangunan penting dan inovatif bagi industri LNG".
Beliau berkata syarikat terlibat telah berjanji membangunkan metodologi untuk mengukur pengeluaran karbon bagi setiap kargo LNG.
Menurutnya sekitar 95 peratus tenaga elektrik Singapura dihasilkan menggunakan gas asli, peningkatan 26 peratus daripada 2001.
LNG akan terus memainkan peranan penting dalam strategi Singapura dalam tahun-tahun akan datang sedang ia mencari sumber alternatif seperti tenaga suria, ujarnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg