SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Syukur dapat bersama ibu, ayah pagi Raya tahun ini

Syukur dapat bersama ibu, ayah pagi Raya tahun ini

May 13, 2021 | 11:34 AM

Syukur dapat bersama ibu, ayah pagi Raya tahun ini

Encik Amirul Azam dan isteri gembira dpaat berkunjung ke rumah ibu bapanya pada pagi Hari Raya hari ini.
Encik Amirul Azam dan isteri gembira dpaat berkunjung ke rumah ibu bapanya pada pagi Hari Raya hari ini. - Foto AMIRUL AZAM

PADA hari pertama Syawal tahun lalu, Encik Amirul Azam Amin Nordin menghabiskan masa menyiapkan kerjanya yang tertunggak selepas meluangkan beberapa jam bersama keluarga dan saudara-maranya menerusi Zoom.

Ini kerana Hari Raya jatuh di tengah-tengah tempoh pemutus rantaian untuk membendung penularan Covid-19 tahun lalu.

Oleh itu, jurugambar berusia 32 tahun itu bersyukur dapat mendakap ibu bapanya dan menyusun sepuluh jari memohon maaf daripada mereka pada pagi Raya hari ini.

Ini meskipun terdapat had lima orang bagi perhimpunan sosial dan kunjungan tamu ke rumah sehari.

Orang ramai juga perlu mengehadkan perhimpunan sosial atau kunjung-mengunjung kepada dua sehari.

Meskipun akui berasa agak hampa apabila langkah lebih ketat itu diumumkan, Encik Amirul Azam memandangnya penting dan akan mematuhinya demi menjaga keselamatan orang yang dikasihi di kelilingnya.

"Ayah saya pun bimbang tentang kes dalam masyarakat walaupun sudah divaksinasi.

"Jadi, saya merancang menziarahi keluarga yang dekat saja... nenek malam tadi dan ibu bapa serta ibu bapa mentua saya hari ini.

"Saya bersyukur dapat bersama ibu dan ayah pada 1 Syawal ini kerana ini amat penting bagi mereka memandangkan saya anak tunggal mereka," katanya.

Untuk memastikan orang yang mereka kunjungi juga menerima lima tamu sahaja sehari, isteri Encik Amirul Azam, Cik Huda Hamid, 29 tahun, antara lain menyiapkan jadual menerusi Google Sheets supaya beliau dan tiga abangnya boleh mengambil giliran untuk menziarah ibu bapa mereka.

Namun, beliau tetap merindui suasana Hari Raya yang kecoh dan meriah bersama keluarga besar yang dinikmatinya sebelum pandemik Covid-19.

Sebelum ini, beliau selalunya berkunjung ke rumah neneknya selepas solat Hari Raya dan kemudian menyertai sepupu serta ibu dan bapa saudaranya untuk kunjung-berkunjung.

"Kami konvoi bersama, adalah dalam 10 hingga 15 orang. Saya rindu kekecohan dengan keluarga besar saya.

"Saya harap langkah lebih ketat ini dapat dilonggarkan selepas 30 Mei, dan saya boleh berkunjung ke rumah sepupu dan kawan," ujarnya.

Buat masa sekarang, Encik Amirul Azam berkata beliau tiada rancangan tertentu tetapi mungkin akan bertukar-tukar kuih Raya dengan temannya atau 'menziarahi' mereka menerusi Zoom.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg