Topik diikuti
Pergi ke BHkuTanda kompak sosial kukuh apabila individu sumbang kembali kepada masyarakat
Tanda kompak sosial kukuh apabila individu sumbang kembali kepada masyarakat
TANDA kompak sosial yang kukuh adalah apabila individu yang telah berjaya, kembali menabur budi kepada masyarakat.
Memuji masyarakat Melayu/Islam, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad berkata ramai anggota karyawan masyarakat Melayu/Islam tampil untuk berkhidmat dan menyumbang kepada mereka yang kurang bernasib baik.
Ini termasuk peguam, karyawan dan individu terlatih dalam bidang undang-undang menganjurkan ceramah guaman, bengkel Permohonan Surat Kuasa Berkekalan (LPA), dan klinik guaman percuma (pro bono) kepada masyarakat.
Sekumpulan askar pula menjadi mentor kepada pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej East melalui Projek 'Pathfinder' dan mendampingi golongan belia selaku contoh teladan.
Persatuan Karyawan Penjagaan Kesihatan Islam (MHPA) pula bekerjasama dengan M³@Bandar untuk membawa program dan bengkel kesihatan ke kawasan perumahan agar dapat lebih dimanfaatkan masyarakat.
Encik Masagos juga berkata banyak kemajuan telah dicapai dengan kerjasama rapat masyarakat Melayu/Islam dan pemerintah.
"Salah satu ciri-ciri yang kita boleh banggakan sebagai satu masyarakat adalah kemajuan yang dicapai selama ini, dengan masyarakat dan pemerintah bersama-sama berganding bahu, menggembleng idea dan tenaga untuk mempertingkatkan masyarakat," katanya.
"Saya berbesar hati dengan kemajuan yang dicapai masyarakat Melayu/Islam berkat kesedaran yang tinggi tentang nilai pendidikan, kerja keras dan usaha rapat semua pihak," tambah beliau.
Encik Masagos akur kemajuan yang dicatatkan masyarakat Melayu/Islam amat menggalakkan dalam pelbagai bidang, termasuk mencapai kemantapan, kemandirian dan mobiliti sosial.
"Sedang kita berdepan dengan cabaran-cabaran baru dan masyarakat yang kian berubah, kita akan terus bekerja rapat dengan para pemimpin masyarakat, badan-badan Melayu/Islam, dan para sukarelawan kita.
"Ini demi mempererat masyarakat untuk sama-sama mengejar kecemerlangan dan mempertingkat kehidupan mereka yang kurang bernasib baik," ujar beliau.
"Salah satu ciri-ciri yang kita boleh banggakan sebagai satu masyarakat adalah kemajuan yang dicapai selama ini, dengan masyarakat dan pemerintah bersama-sama berganding bahu, menggembleng idea dan tenaga untuk mempertingkatkan masyarakat."
- Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.