Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tarboush buka cawangan kedua di Hotel Rendezvous Orchard

Langkah penuhi jurang untuk makanan halal di kawasan Orchard dan Tanglin, strategi niaga bagi demografik dan persekitaran berbeza
Nov 27, 2024 | 6:21 PM
Cawangan kedua restoran Tarboush di Rendezvous Orchard Hotel boleh menampung lebih 300 pelanggan, separuh daripadanya boleh menjamu hidangan di kawasan ‘alfresco’ atau terbuka.
Cawangan kedua restoran Tarboush di Rendezvous Orchard Hotel boleh menampung lebih 300 pelanggan, separuh daripadanya boleh menjamu hidangan di kawasan ‘alfresco’ atau terbuka. - Foto SINGAPORE HOSPITALITY GROUP

Melihat jurang dalam pasaran di kawasan Orchard dan Tanglin untuk makanan halal, ketua pegawai eksekutif Singapore Hospitality Group, Encik Ali Abbas, membuat keputusan membuka cawangan kedua restoran hidangan Timur Tengahnya, Tarboush, di Hotel Rendezvous Orchard.

Penerokaan strategik ke kawasan yang biasanya dikunjungi pelancong dan ekspatriat itu membolehkannya mengembangkan dan menyesuaikan strategi perniagaannya untuk memenuhi keperluan demografik dan persekitaran yang berbeza sejak ia dibuka pada November.

Dalam satu perkongsian dengan Berita Harian (BH), Encik Ali berkata beliau berharap untuk meraih semula pulangan modal dan memperoleh keuntungan daripada pelaburan sebanyak $1.5 juta itu dalam tempoh tiga tahun.

Beliau menambah bahawa dengan strategi perniagaan lebih baru, seperti menambah hidangan baru pada menu sedia ada dan perubahan masa operasi, beliau berharap dapat menarik pelanggan yang ingin meningkatkan pengalaman menjamu selera mereka kerana pilihan itu tidak terdapat di cawangan Tarboush pertama di Village Hotel Bugis.

“Melalui maklum balas yang kami terima daripada pelanggan serta kajian yang mengambil masa tiga minggu, kami telah menambah hidangan baru, sebanyak 30 peratus, dalam menu kami, yang juga dihiasi dengan gambar-gambar baru.

“Saya perhatikan sejak Tarboush dibuka hampir sebulan lalu, pelanggan yang mengunjungi restoran ini adalah mereka yang datang secara walk-in.

“Mungkin jika kami menerima hampir 200 pelanggan sehari, hanya 40 membuat tempahan dalam talian dan bakinya adalah pelanggan yang mengetahui restoran ini secara kebetulan,” kongsi Encik Ali.

Berbanding cawangan pertama Tarboush yang dibuka awal 2024, demografik di Orchard dan Tanglin berbeza dan memerlukan pengubahsuaian strategi.

“Saya bercadang mengubah waktu restoran ini ditutup, dari 10.30 malam ke 12 tengah malam.

“Ini kerana saya dapati ramai pengunjung yang akan meluangkan masa di The Coffee Bean & Tea Leaf cawangan Forum The Shopping Mall yang beroperasi selama 24 jam.

“Dengan waktu operasi yang lebih panjang, Tarboush boleh menjadi pilihan restoran untuk menjamu selesa sehingga lewat malam bagi sesiapa yang masih berada di kawasan itu,” tambah beliau.

Tarboush juga menyediakan meja cef atau chef’s table, konsep yang membolehkan sehingga 15 pengunjung menikmati pengalaman makan secara peribadi, dengan menu disediakan khusus oleh ketua cef restoran.

Terdapat juga dua ruang makan peribadi yang boleh dicantum untuk menampung kumpulan lebih besar yang mengutamakan privasi.

“Melalui ruang makan peribadi, saya berharap dapat menarik pelanggan baru, yang mungkin menginginkan pengalaman yang lain daripada apa yang ditawarkan di Tarboush Village Hotel.

“Apabila digabung, ruang ini dapat memuatkan lebih 10 pelanggan,” kata Encik Ali.

Selain daripada itu, kerjasama antara restoran Tarboush dengan Rendezvous Orchard Hotel memberi peluang bagi pelancong dan tetamu yang bermalam di hotel tersebut menjamu makanan dengan potongan harga 20 peratus.

Ia merupakan sebahagian daripada strategi Encik Ali untuk memastikan hidangan yang disajikan di Tarboush dapat dinikmati oleh semua dengan harga yang berpatutan.

“Melalui maklum balas yang kami terima daripada pelanggan serta kajian yang mengambil masa tiga minggu, kami telah menambah hidangan baru, sebanyak 30 peratus, dalam menu kami, yang juga dihiasi dengan gambar-gambar baru. Saya perhatikan sejak Tarboush dibuka hampir sebulan lalu, pelanggan yang mengunjungi restoran ini adalah mereka yang datang secara ‘walk-in’... Dengan waktu operasi yang lebih panjang, Tarboush boleh menjadi pilihan restoran untuk menjamu selesa sehingga lewat malam bagi sesiapa yang masih berada di kawasan itu.”
Ketua Pegawai Eksekutif Singapore Hospitality Group, Encik Ali Abbas.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg