Dua inovasi digital dijangka menawarkan penyelesaian baru bagi dua penyakit kronik seperti kegagalan jantung dan barah gastrik, apabila ia menjalani ujian di kelompok penjagaan kesihatan tempatan.
Peranti penderiaan tekanan jantung dan paru-paru bukan invasif, iaitu peranti Acorai, hasil ciptaan syarikat Sweden, Acorai, akan diuji di kelompok SingHealth dan National Healthcare Group (NHG).
Sementara itu, peranti kecerdasan buatan (AI) endoskop gastroAI, rekaan syarikat pemula berpangkalan di Tokyo,Jepun, AI Medical Service (AIM), akan diuji di kelompok SingHealth.
Kedua-dua inovasi ini merupakan antara lima pemenang CHISEL Healthcare InnoMatch 2025, suatu cabaran inovasi global yang memberi peluang kepada syarikat permulaan penjagaan kesihatan menguji inovasi sedia pasaran di kelompok kesihatan awam Singapura – NHG Health, National University Health System (NUHS), dan SingHealth.
Sekiranya dilaksanakan di Singapura, peranti Acorai berpotensi mengurangkan kadar kemasukan semula pesakit kegagalan jantung ke hospital, sekali gus menjimatkan kos dan memberi mereka lebih masa menikmati kehidupan di luar hospital.
Peranti ini mudah digunakan, doktor hanya perlu meletakkan pesakit dalam posisi terlentang, mengisi maklumat pesakit, dan merakam data selama 3 minit daripada dada pesakit.
Ia tidak memerlukan integrasi dengan sistem rekod kesihatan sedia ada dan memerlukan latihan minimum, jelas Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif di Acorai, Encik Filip Peters.
Pakar kardiologi Amerika, Dr Andrew J. Sauer, 55 tahun, menyifatkan peranti Acorai sebagai berpotensi mengubah cara pesakit kegagalan jantung dipantau dan dirawat.
“Dengan mengenal pasti peningkatan tekanan lebih awal, doktor boleh campur tangan lebih cepat, merancang rawatan yang lebih diperibadikan dan bukan invasif, serta mengurangkan risiko kegagalan jantung,” katanya.
Masalah kegagalan jantung menjejaskan keupayaan jantung mengepam darah secukupnya bagi memenuhi keperluan badan.
Di Singapura, 4 peratus hingga 5 peratus warga menghidapinya. Kadar ini lebih tinggi daripada purata global 1 peratus hingga 2 peratus.
Bagi memastikan ketepatan klinikal, Encik Peters menjelaskan bahawa model pembelajaran mesin Acorai telah dilatih menggunakan set data global melibatkan lebih 2,000 pesakit daripada 20 hospital.
Sementara itu, gastroAI membantu pakar endoskop mengesan barah gastrik pada peringkat awal semasa pemeriksaan endoskopi gastrousus atas.
Diilhamkan oleh Dr Tomohiro Tada, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif AIM, yang telah melakukan lebih 20,000 pemeriksaan endoskopi, sistem ini mampu mengenal pasti sel barah tersembunyi dalam mukosa gastrik yang meradang.
“‘Set mata tambahan’ ini mengurangkan risiko sel penting terlepas daripada perhatian dan membantu pakar endoskopi walaupun dalam kes yang rumit,” kata Dr Tada. gastroAI beroperasi menggunakan prosesor CPU yang boleh disambungkan terus ke sistem endoskop Olympus atau Fujifilm, dan boleh digunakan di klinik dengan latihan asas.
Ketua Wilayah AI Medical Service bagi Singapura dan Asia Tenggara, Encik Masayuki Tokano, berkata:
“Matlamat kami ialah menurunkan kos penjagaan keseluruhan. gastroAI boleh mengurangkan biopsi tidak perlu, mengelakkan diagnosis terlepas, dan membolehkan campur tangan lebih awal, yang semuanya menjimatkan kos jangka panjang bagi pesakit dan hospital.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg