MENTERI Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli Masagos Mohamad berkata meskipun masih terlalu awal untuk melakukan sebarang kesimpulan, terdapat potensi baik mengesan Covid-19 dalam pengawasan air sisa.
Dalam catatannya di Facebook, Encik Masagos berkata beberapa agensi telah mencari solusi baru untuk melengkapkan usaha Pasukan Petugas Silang Agensi untuk menilai dan mengurangkan penyebaran Covid-19.
Ini dilakukan dengan mengambil sampel dan membuat ujian air sisa.
"Oleh kerana mereka yang dijangkiti COVID-19... dapat membuang virus itu menerusi najis mereka, satu pasukan telah mengambil sampel air sisa dari Loji Reklamasi Air (WRP) dan asrama pekerja.
"Hasil kajian menunjukkan bahawa tahap asid ribonukleat virus (RNA) Covid-19 dalam air sisa dari WRP dapat dikesan pada akhir Mac 2020," tulis beliau.
Penemuan tersebut mendorong lebih banyak ujian swab dilakukan bagi pekerja di asrama menyebabkan lebih banyak pengesanan dan pengasingan kes.
"Ini memudahkan strategi ujian swab lebih tersasar dan membantu mengurangkan penularan selanjutnya," tambahnya.
Menurut Encik Masagos, metodologi pensampelan dan ujian air sisa itu dihasilkan bersama Institut Kesihatan Alam Sekitar (EHI) Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), Pusat Kejuruteraan Sains Kehidupan Alam Sekitar Singapura, Universiti Teknologi Nanyang, Singapura, Institut Teknologi Singapura-Massachusetts untuk Penyelidikan dan Teknologi (SMART) dan Universiti Nasional Singapura.
Ia turut disokong agensi air kebangsaan PUB dan Agensi Sains dan Teknologi Home Team (HTX).


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg