SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Teroka warisan makanan Melayu

Teroka warisan makanan Melayu

Teroka sejarah warisan makanan dalam masyarakat Melayu menerusi video-video menarik yang disajikan sebagai sebahagian daripada Singapore HeritageFest (SHF). Acara tahunan yang dianjurkan oleh Lembaga Warisan Negara (NHB) itu, meraikan pelbagai aspek warisan dan budaya yang ada di Singapura. Berlangsung sehingga 30 Mei, SHF mengetengahkan berbagai  kegiatan dan program yang boleh dinikmati oleh seisi keluarga. 
May 10, 2021 | 5:30 AM

Teroka warisan makanan Melayu

Resepi keluarga jadi inspirasi

Sesuatu yang pada mulanya merupakan cara menghilangkan stress kini menjadi titik permulaan bagi kerjaya Cef Shamsydar Ani sebagai seorang cef.

Cef Shamsydar, 31 tahun, yang juga seorang jurugambar, memberi penghargaan kepada ibu dan kakak beliau yang merupakan pengaruh dan inspirasi utamanya untuk memasak dengan baik dan penuh kasih sayang.

Naib juara kedua rancangan televisyen MasterChef Musim 1 dan penulis buku masak 'Spices & Lime' itu akan ditampilkan dalam acara Singapore HeritageFest (SHF) anjuran Lembaga Warisan Negara (NHB), tahun ini.

Cef Shamsydar yang mementingkan resepi warisannya akan berkongsi resepi Ayam Lemak Cili Padi yang menggunakan cara dan bahan-bahan yang lebih sihat dan Rendang Minang ibunya.

"Rendang ibu saya merupakan masakan Melayu yang paling saya gemari. Walaupun sibuk bekerja, wanita dalam keluarga saya tidak pernah memberi alasan dan pastikan yang ada makanan di meja setiap hari.

"Makanan amat penting dalam keluarga saya," kata beliau yang mula mahir dalam bidang masakan semasa di universiti dan ingin meneroka jenis makanan yang lain, selain masakan ibunya.

Walaupun masakan warisan penting bagi Cef Shamsydar, beliau tidak teragak-agak untuk memberi sentuhan moden kepada masakan tradisional Melayu.

"Saya menyokong pemodenan makanan asalkan ia bermunasabah. Janganlah diubah sehingga menjadi sesuatu yang tidak dapat dikenali pun."

"Kini, pelbagai jenis teknologi sedia ada untuk menyenangkan dan meringkaskan lagi proses memasak lauk pauk Melayu. Sudah tiada alasan lagi bagi anak muda yang sering merungut tentang proses memasak lauk Melayu yang terlalu leceh," kata Cef Shamsydar.

Beliau juga menambah bahawa dua resepi yang bakal dikongsi dalam SHF merupakan resepi lauk Melayu kegemarannya yang pasti ada pada acara-acara istimewa ataupun di kedai nasi padang.

Menurut Cef Shamsydar, resepi yang bakal dikongsi mengekalkan keunikan hidangan Melayu, namun diubah suai untuk mengikut citarasa dan gaya hidup anak muda di Singapura.

Apabila ditanya tentang kepentingan resepi warisannya, Cef Shamsydar berkata:

"Makanan merupakan antara memori terawal dan terindah bagi saya. Perbualan sering berlaku di meja makan dan saya sekeluarga sering mengimbas kembali tentang lauk pauk yang pernah dihidangkan dan dimasak pada acara-acara dan hari-hari yang istimewa.

"Saya dan keluarga tidak mahu menyesal apabila sudah tua nanti kerana tidak dapat memasak lauk pauk warisan keluarga kami dan hanya tinggal kenangan sahaja. Ia lebih baik untuk cuba belajar memasak lauk-pauk ini," kata beliau.

Amalkan jamu sejak di bangku sekolah

Sejak zaman persekolahan lagi, Encik Suryakencana Omar sudah mengalami sendiri manfaat dan 'nikmat' jamu.

Oleh itu, amalan mengambil jamu bukan sahaja dikekalkan Encik Suryakencana, 48 tahun sehingga ke hari ini, tetapi terus dikongsi sama dengan generasi muda.

Menurut beliau, manfaat kesihatan jamu dan amalannya yang tidak lapuk dek zaman, membolehkan ia terus bertahan hingga kini, kata Pengarah (Masyarakat dan Budaya) di syarikat By Definition Pte Ltd itu.

Encik Suryakenchana bakal berkongsi rahsia kesihatan di sebalik pengamalan jamu serta cara membuat ramuan jamu dalam Siri Persatuan Masyarakat, sebagai sebahagian daripada Singapore HeritageFest (SHF) anjuran Lembaga Warisan Negara (NHB) tahun ini.

Menceritakan pengalamannya, beliau sering diberi jamu sebagai sumber tenaga oleh ibunya sejak di bangku sekolah lagi, khususnya ketika di maktab rendah apabila beliau aktif dalam sukan lasak.

"Ibu saya sering menekankan tentang kepentingan jamu kerana ia dapat memberi tenaga dan kadar pemulihan yang baik. Jamu ini diamalkan untuk menjaga kesihatan. Ia lebih kepada mencegah penyakit daripada mengubati penyakit.

"Secara peribadi, pengamalan jamu ini telah membantu saya mengurangkan rasa sakit sendi. Sehingga hari ini, jika saya rasa yang saya perlukan tenaga yang lebih, saya akan mengambil beras kencur," kata Encik Suryakenchana, yang mula berminat dalam amalan membuat jamu serta ramuannya semasa menuntut di Universiti Nasional Singapura (NUS).

Tambahnya, ia amat mudah untuk membuat ramuan jamu sendiri di rumah kerana jamu boleh dihasilkan dengan bahan-bahan yang sudah ada di dapur - seperti ramuan kunyit asam yang sering diambil beliau.

"Ada jamu yang merupakan campuran kunyit, asam bersama madu ataupun gula melaka," ujar Encik Suryakencana yang turut menyarankan agar jamu, seperti beras kencur dihidangkan kepada tetamu kerana manfaatnya yang amat banyak.

Beras kencur ialah jamu yang diperbuat dari halia, kayu manis, kencur dan beras.

Apabila ditanya jika beliau percaya bahawa pengambilan jamu masih lagi sesuai pada masa ini, Encik Suryakencana berkata:

"Walaupun sudah ada pelbagai kemajuan dalam teknologi perubatan, saya percaya bahawa jamu lebih relevan pada masa kini.

"Lebih ramai yang percaya akan produk-produk yang semula jadi. Jamu ini senang dihasilkan dengan bahan-bahan yang segar."

Ikuti Cef Shamsydar dalam demonstrasi memasak lauk-pauk warisan Melayu di sini

Sertai Encik Suryakencana yang akan menunjukkan cara untuk menghasilkan jamu Jawa serta faedah jamu seperti kunyit asam dan halia rempah di sini

Bagi mereka yang ingin mengikuti kegiatan lain dalam acara SHF tahun ini, lungsuri lelaman https://www.sgheritagefest.gov.sg/?utm_medium=sph&utm_source=bh&utm_campaign=shf2021

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg