TIGA pasar raya - dua pasar raya Sheng Siong dan sebuah pasar raya NTUC FairPrice - telah disenaraikan sebagai tempat yang dikunjungi pesakit Covid-19 semasa mereka masih lagi berjangkit.
Pesakit telah mengunjungi pasar raya Sheng Shiong di 7 Jurong West Avenue 5 pada 9 Jun dari 7.50 hingga 8.20 pagi.
Satu lagi kes dalam masyarakat juga telah ke pasar raya Sheng Siong di 19 Serangoon North Avenue 5 pada 19 Jun dari 5.15 hingga 6.05 petang.
Kes ketiga pula mengunjungi pasar raya NTUC FairPrice di 447A Jalan Kayu pada 15 Jun dari 6.25 petang hingga 8.55 malam.
Seorang lelaki warga India, 33 tahun, dilaporkan satu-satu kes baru Covid-19 dalam masyarakat, menurut kenyataan Kementerian Kesihatan (MOH) malam Isnin (22 Jun).
Lelaki itu, seorang pemegang pas kerja, dikesan menghidapi Covid-19 semasa pemeriksaan proaktif kementerian itu bagi mereka yang bertugas dalam khidmat penting.
Pesakit adalah asimptomatik.
Secara purata, bilangan kes dalam masyarakat telah berkurangan daripada lapan kes dua minggu lalu kepada empat seminggu lalu, kata MOH.
Lagi 218 kes baru pula telah disahkan di Singapura hari ini, menjadikan jangkitan itu berjumlah 42,313 di sini.
Daripada kes baru itu, 217 kes melibatkan pekerja asing menetap di asrama.
Tiada kes melibatkan warga Singapura atau Penduduk Tetap.
MOH juga mengenal pasti satu kelompok baru di asrama di 204 Tagore Lane.
Dalam pada itu, lagi 648 pesakit Covid-19 dibenarkan pulang hari ini.
Secara keseluruhan, 35,590 pesakit telah pulih sepenuhnya dan dibenarkan pulang dari hospital atau dari kemudahan masyarakat.
Sebanyak 200 kes yang telah disahkan positif dirawat di hospital dengan seorang daripada mereka berada di unit jagaan rapi.
Sejumlah 6,497 pula berada di pusat pengasingan di kemudahan masyarakat.
Seramai 26 telah meninggal dunia akibat Covid-19 di Singapura.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg