Topic followed successfully
Go to BHkuTingkat usia sara ke 63 tahun, akan diterus ikut jadual: Josephine
Tingkat usia sara ke 63 tahun, akan diterus ikut jadual: Josephine
Tingkat usia sara ke 63 tahun, akan diterus ikut jadual: Josephine
LANGKAH menaikkan usia persaraan kepada 63 tahun dan usia pengambilan kerja semula kepada 68 tahun akan dijalankan sebagaimana yang dirancangkan pada 1 Julai tahun depan, kata Menteri Tenaga Manusia, Cik Josephine Teo semalam.
Cik Teo menambah perkhidmatan awam juga akan memenuhi komitmen awalnya untuk kenaikan usia itu setahun lebih awal daripada penggubalan dasar bagi sekitar 146,000 pegawainya, pada 1 Julai tahun ini.
"Ini akan membantu untuk memastikan kita berada di landasan yang tepat dalam menaikkan usia persaraan kepada 65 tahun dan usia pengambilan kerja semula kepada 70 tahun menjelang akhir dekad," ujar Cik Teo.
Sementara itu, meningkatkan kadar sumbangan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) bagi pekerja lanjut usia akan diteruskan pada 1 Januari 2022, jika tidak berlaku sebarang kejadian tidak dijangkakan.
Kenaikan yang sepatutnya dilakukan pada 1 Januari tahun ini akan menyaksikan pekerja dan majikan menyumbang sama ada 0.5 mata peratusan atau satu mata peratusan bagi pekerja berusia di antara 55 tahun dengan 70 tahun bergantung kepada usia seseorang itu.
Ia telah ditangguhkan selama setahun untuk menolong majikan menguruskan kos di tengah-tengah pandemik Covid-19.
Cik Teo turut menggariskan tiga keutamaan kementeriannya bagi 2021, yang melibatkan usaha untuk menjamin pemulihan semula pekerjaan pada jangka pendek dengan meningkatkan penggajian pekerja setempat menerusi peluasan Insentif Pertumbuhan Pekerjaan (JGI), skim subsidi pendapatan dan menyokong transformasi perniagaan.
Keutamaan ketiga ialah membantu setiap segmen tenaga kerja termasuk pekerja lanjut usia, bangkit lebih kukuh daripada pandemik.
Menurut Cik Teo, meneruskan langkah menaikkan usia seperti yang dirancangkan akan menyediakan pilihan kepada pekerja lanjut usia untuk bekerja lebih lama dan membantu mereka menabung untuk persaraan.
Kali pertama langkah menaikkan usia persaraan dan pengambilan kerja semula diumumkan ialah pada 2019.
Cik Teo menarik perhatian bahawa golongan pekerja lebih berusia telah ketinggalan jauh di belakang pekerja lebih muda dari sudut pendapatan median dan jumlah dikumpul dalam akaun CPF.
Pakej Sokongan Pekerja Lanjut Usia bernilai $1.3 bilion yang diumumkan tahun lalu termasuk Geran Pengamal Awal bagi Pengambilan Pekerja Lanjut Usia dan Geran Pengambilan Kerja Semula Sambilan, bagi menolong majikan menaikkan usia persaraan dan pengambilan kerja semula.
Menurut Cik Teo, sejak geran itu diperkenalkan Julai lalu, sebanyak 1,700 syarikat dengan 17,000 pekerja lanjut usia telah disokong.

