Topik diikuti
Pergi ke BHkuTonton video ISIS untuk hilangkan stres dibuli di sekolah

Tonton video ISIS untuk hilangkan stres dibuli di sekolah
AAKEEL (bukan nama sebenar) berhenti menonton video-video ISIS untuk seketika pada 2015 apabila terpandang petikan video seorang militan kumpulan itu membunuh seorang kanak-kanak.
Dia yang mula menjadi radikal pada 2014 semasa berusia 16 tahun, mula sangsi terhadap kumpulan itu, namun berdasarkan sejarah tontonannya sebelum ini, YouTube kerap menyarankannya tentang video sedemikian.
Kebetulan berlaku satu insiden di sekolah apabila dia dibuli oleh seorang rakan sekelasnya dan dia kemudian kembali menonton video ISIS kerana berasa stres.
"Saya tidak berkongsi masalah sekolah saya dengan keluarga mahu pun mendapatkan nasihat mereka.
"Apabila saya menonton semula video ISIS, ia membuat saya terfikir untuk menyokong ISIS sekali lagi kerana saya yakin mereka berperang demi Islam dan mempertahankan Muslim di Syria," katanya dalam jawapan bertulisnya kepada Berita Harian (BH).
Aakeel mula berminat terhadap konflik Israel-Palestin pada 2012 semasa berusia 14 tahun.
Menjelang pertengahan 2016, dia telah pertimbangkan untuk berjuang bersama ISIS di Syria dan mempertahankan Muslim yang merana di sana.
Meskipun menyokong ISIS, Aakeel, kini 20-an tahun, juga kekal berminat menyertai kumpulan Hamas di Palestin kerana yakin kumpulan itu pelindung Muslim di Palestin.
"Saya terbayang diri saya kelihatan 'cool' selaku seorang pejuang ISIS yang membawa senjata.
"Saya juga terfikir untuk ke Syria untuk menyokong ISIS apabila saya rasa tertekan dalam kehidupan seperti semasa dibuli atau diusik rakan sekelas," katanya.
Dia juga cuba berbual dengan rakan-rakannya tentang ISIS dan apabila mereka nyatakan ISIS kumpulan pengganas, dia akan cuba pertahankan kumpulan itu yang dianggapnya sah kerana mereka berjuang demi Islam.
Pada pertengahan 2016, dia berkongsi dengan seorang mentor di sebuah Institut Pendidikan Teknikal (ITE) akan hasratnya menyertai ISIS di Syria atau Hamas di Palestin.
Meskipun dinasihati mentor tersebut agar tidak berbuat demikian kerana anggota ISIS "bukan Muslim sebenar", dia tetap berdegil.
Dia juga memberitahu beberapa rakannya tentang hasratnya itu dan ke Syria untuk berjuang.
"Mereka juga menasihatinya agar tidak menyertai kumpulan itu dan berhenti menonton video berkaitan ISIS, namun saya tidak endahkan mereka," katanya.
Pada 2017 semasa rasa tertekan dengan kehidupannya, Aakeel membuat carian dalam talian bagi terjemahan dalam Bahasa Arab bagi "Negeri Islam di Singapura".
Dia menemui Daulah Islamiyah fi Singafuro, langsung menghantarnya kepada bekas mentornya di ITE dan beberapa rakannya sambil menyarankan bahawa ISIS mungkin sedang ke Singapura.
Dia kemudian menerima Perintah Sekatan (RO) di bawah Akta Keselamatan dalam Negara (ISA) pada 2017.
Semasa tempoh RO itu, dia didampingi secara kerap oleh pihak berkepentingan pemulihan yang membantunya dalam membetulkan ideologi radikalnya itu.
Dia juga mendaftarkan diri di sebuah institusi pos-menengah bagi melanjutkan pengajian semasa dalam RO.
"Sikap saya terhadap para pegawai ISD pada awalnya kurang baik memandangkan saya rasa marah semasa disiasat.
"Namun, selepas bertemu dengan seorang pakar psikologi yang dikerah ISD, saya belajar menyesuaikan emosi saya.
"Saya kemudian meminta maaf kepada para pegawai ISD di atas sikap kurang baik saya," katanya yang kemudian mula memberi kerjasama semasa siasatan lanjut.
Menurutnya dia menarik nafas lega dan menangis apabila ISD memberitahunya dan kededua orang tunya yang dia akan diberi RO.
Dia juga meminta maaf kepada kededua orang tuanya kerana sokongannya kepada ISIS dan keinginannya ke Syria.
Dia berasa amat bersalah kerana tidak mendengar nasihat kededua orang tuanya dan menimbulkan tekanan kepada mereka, sehinggakan adiknya juga terjejas semasa peperiksaan.
"Nenek saya memarahi saya di hadapan para pegawai ISD kerana tidak mendengar nasihat keluarga dan ibu juga menangis ketika memarahi saya," tambahnya.
Namun semasa tempoh RO itu, keluarganya kian rapat.
Ibunya, Cik Rafeah (bukan nama sebenar), 40-an tahun, berkata beliau sekeluarga berasa terperanjat dengan apa yang berlaku dan tidak menyangka yang Aakeel berhasrat ke Syria untuk berjuang di samping ISIS.
"Secara perlahan kami semua mulai sedar bahawa sasaran terdekat adalah untuk menyedarkannya bahawa hasratnya itu salah dan bertentangan ajaran Islam.
"Kami kemudian ambil keputusan untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi memulihkan Aakeel," katanya.
Meskipun berhadapan masalah semasa tahun pertamanya menduduki diploma, namun Aakeel akhirnya lulus semua subjek dan berjaya menggenggam diploma.
Tempoh RO-nya kemudian dibenar luput.
"Fikirkan tentang keluarga dahulu kerana itulah jihad kita seperti menjaga ibu bapa dan adik-beradik.
"Dan dapatkan panduan serta nasihat keluarga," katanya yang kini bekerja sebagai teknisyen.
"Sikap saya terhadap para pegawai ISD pada awalnya kurang baik memandangkan saya rasa marah semasa disiasat. Namun, selepas bertemu dengan seorang pakar psikologi yang dikerah ISD, saya belajar menyesuaikan emosi saya. Saya kemudian meminta maaf kepada para pegawai ISD di atas sikap saya."
- Aakeel (bukan nama sebenar).