UNIVERSITI Teknologi Nanyang (NTU) akan menawarkan ujian Covid-19 percuma kepada penghuni asrama pada Januari depan, sebagai sebahagian usaha memastikan kampus itu kekal selamat, umum universiti itu dalam satu e-mel kepada pelajar kelmarin.
"Bagi memastikan semua penghuni asrama dan warga kampus kami kekal selamat, pihak Universiti dengan rundingan bersama Kementerian Pendidikan (MOE) dan Kementerian Kesihatan (MOH) akan menawarkan ujian swab Covid-19 kepada semua penghuni asrama baru dan yang akan kembali," umum Pejabat Presiden NTU.
"Semua penghuni asrama sangat digalak menjalani ujian swab. Ini sebahagian daripada usaha Pemerintah meluaskan ujian Covid-19 kepada kumpulan masyarakat tertentu."
NTU berkata ujian itu akan membantu mereka "memantau dengan lebih baik kemunculan kes Covid-19 dan membendung sebarang kes tidak bergejala dalam masyarakat dengan lebih cepat", terutama dalam persekitaran yang menimbulkan risiko jangkitan masyarakat lebih tinggi.
Ujian tersebut akan dijalankan di kampus dari 4 hingga 15 Januari, dan penghuni asrama baru dan sedia ada boleh membuat tempahan dalam talian dari sekarang hingga 18 Disember.
Untuk layak menempah ujian, penghuni asrama mesti tidak mengalami simptom Covid-19 atau menjalani kuarantin, notis jangan keluar rumah (SHN) atau cuti ketidakhadiran.
"Ujian Covid-19 akan menggunakan ujian pantas antigen (ART). ART melibatkan swab pada rongga hidung di bahagian bawah rongga tersebut," kata NTU.
"Penghuni asrama yang diuji positif ART akan perlu menjalani ujian pengesahan tindak balas rantaian polimerase (PCR) Covid-19 secara berasingan bagi menentukan apakah mereka dijangkiti Covid-19."
Sementara menunggu keputusan ujian PCR, penghuni perlu menjalani pengasingan kendiri dan mengurangkan pendedahan kepada orang lain.
"Mereka yang disahkan dijangkiti Covid-19 akan dihantar melalui ambulans ke kemudahan jagaan sesuai dan menerima rawatan perubatan di bawah skim insurans NTU untuk mahasiswa," ujar NTU.
Selain itu, asrama pelajar NTU, Graduate Hall 1, akan dibuka sebagai kemudahan pengasingan sementara bagi mahasiswa sepenuh masa yang memerlukan tempat tinggal sementara jika mereka perlu menjalani pengasingan kendiri.
Ia akan disediakan secara percuma kepada mereka yang tidak mempunyai rumah di sini atau rumah mereka tidak sesuai untuk menjalani pengasingan kendiri, sementara mereka menunggu keputusan ujian swab PCR.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg