MULAI Isnin (26 Oktober), orang ramai boleh mengusulkan nama individu untuk dinilai bagi jawatan Anggota Parlimen Dicalon (NMP).
Mereka mempunyai tempoh sebulan untuk berbuat demikian dengan tarikh tutup yang ditetapkan adalah 4.30 petang pada 23 November.
Calon-calon mestilah yang pernah memberi sumbangan khidmat awam yang terbilang, membawa penghormatan buat Singapura atau cemerlang dalam bidang masing-masing, jelas kenyataan Pejabat Kerani Parlimen pada Ahad.
Bidang-bidang yang dimaksudkan adalah seni dan persuratan, sukan, kebudayaan, sains, perniagaan, perindustrian, bidang kerja, khidmat sosial atau masyarakat mahupun gerakan buruh.
Skim NMP ini diperkenalkan pada 1990 bagi memastikan perwakilan luas dalam menyampaikan pandangan di Parlimen. Jumlah NMP boleh mencecah sehingga sembilan orang dengan setiap penggal mereka berlangsung selama dua setengah tahun.
Nama-nama calon akan diserahkan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas yang dipengerusikan Speaker Parlimen, Encik Tan Chuan-Jin.
Anggota lain jawatankuasa itu adalah Menteri Perdagangan dan Perindustrian, Encik Chan Chun Sing, Menteri Kesihatan, Encik Gan Kim Yong, Menteri Negara (Tenaga Manusia merangkap Pendidikan), Cik Gan Siow Huang, Menteri Kedua Kewangan merangkap Pembangunan Negara, Cik Indranee Rajah, Menteri Kedua Pendidikan merangkap Ehwal Luar, Dr Maliki Osman, Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan dan Anggota Parlimen GRC Aljunied, Encik Leon Perera.
Selain usulan orang awam, tujuh kumpulan berfungsi - perniagaan dan industri; bidang kerja; gerakan buruh; pertubuhan khidmat sosial; sektor sivik dan manusia; institusi pengajian tinggi; dan pertubuhan media, seni dan sukan - juga diundang bagi mengusulkan nama calon yang sesuai.
Setiap calon akan mempunyai penyelaras yang dipilih bagi mendapatkan pandangan pertubuhan masing-masing.
Encik Tan akan bertemu wakil-wakil ini bagi memberitahu mereka tentang prosedur mengirimkan pencalonan.
Selepas tempoh penyertaan, pihak jawatankuasa akan memberitahu Anggota Parlimen yang dilantik dan mendapatkan pandangan tentang individu yang diusulkan.
Ia kemudian akan mengambil kira pelbagai kriteria dan bertemu bagi beberapa hari kemudian untuk mewawancara calon. Seorang individu itu dianggap layak bagi pelantikan sebagai NMP jika beliau adalah warga Singapura, berusia 21 tahun ke atas pada hari pencalonan dan berada dalam senarai pendaftar pengundi.
Ketetapan lain pula termasuk dirinya harus melibatkan secara aktif dalam sidang Parlimen.
Jawatankuasa akan membincangkan dan menentukan siapa untuk dicalonkan sebelum menyerahkan senarai calon kepada Presiden bagi pelantikan sebagai NMP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg