SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Vaksin Covid-19 yang dihidu mungkin lebih berkesan: Pakar

Vaksin Covid-19 yang dihidu mungkin lebih berkesan: Pakar

Mar 31, 2021 | 5:30 AM

Vaksin Covid-19 yang dihidu mungkin lebih berkesan: Pakar

6341684c-64dd-4ba3-91d9-06e14c969a07
-

VAKSIN Covid-19 yang diberikan melalui hidung atau mulut mungkin lebih berkesan dalam menyekat virus itu di saluran pernafasan bahagian atas, dan dengan itu mengurangkan penularannya, kata pakar penyakit berjangkit di Singapura.

Tetapi keselamatan dan keberkesanan vaksin sedemikian masih harus dibuktikan dalam ujian klinikal, kata mereka, menurut laporan The Straits Times.

Pakar-pakar itu menyatakan demikian tentang vaksin Covid-19 yang diberikan melalui kaedah lain selain suntikan, setelah penguasa perubatan China minggu lalu meluluskan vaksin yang dihidu dibangunkan bersama oleh CanSino Biologics untuk ujian klinikal.

Vaksin yang dihidu atau yang disemburkan ke dalam hidung meniru cara virus pernafasan biasanya menjangkiti seseorang, dengan memasuki saluran pernafasan.

Vaksin-vaksin itu dijangka dapat menimbulkan tindak balas imun setempat yang kuat di saluran pernafasan atas, di mana virus Sars-CoV-2 menular.

"Oleh itu, tindak balas imun setempat ini berpotensi lebih berkesan dalam menyekat patogen dengan segera apabila virus dihidu atau bersentuhan dengan hidung," kata Profesor Madya Sylvie Alonso, pengarah bersama Program Kajian Pembauran Penyakit Berjangkit di Sekolah Perubatan Yong Loo Lin di Universiti Nasional Singapura (NUS).

Mungkin ada peluang yang lebih tinggi untuk mengurangkan penularan manusia ke manusia apabila patogen dineutralkan dengan berkesan sebaik sahaja atau sejurus selepas ia mulai berganda, tambahnya.

Vaksin Covid-19 yang disuntik dan diluluskan setakat ini - seperti vaksin Pfizer-BioNTech dan Moderna - terbukti dapat mencegah penyakit, tetapi belum dapat menunjukkan secara pasti ia dapat mengurangkan penularan.

Profesor Ooi Eng Eong dari program penyakit berjangkit baru di Sekolah Perubatan Duke-NUS berkata manfaat teori vaksin Covid-19 melalui hidung dan yang dihidu tidak dapat dipastikan tanpa ujian keberkesanan.

Vaksin-vaksin itu sedang dalam tahap penerokaan, kata Profesor Ooi, pembangun bersama vaksin Covid-19 yang disuntik yang akan menjalani ujian fasa tiga dalam suku kedua tahun ini.

Beliau menambah, sebelum vaksin melalui hidung dan mulut dapat digunakan, ujian klinikal akan diperlukan bagi menunjukkan ia selamat dan untuk membandingkan keberkesanannya dengan vaksin yang telah diluluskan.

Profesor Alonso berkata vaksin yang diberikan melalui mulut atau hidung telah cuba dibangunkan sepanjang beberapa dekad lalu, tetapi menghadapi beberapa cabaran saintifik yang unik.

Beliau menambah sokongan yang dipertingkat untuk kajian asas, seperti untuk memahami imuniti di kawasan mukosa tersebut, diperlukan.

Vaksin Covid-19 melalui hidung juga sedang dikaji di negara lain selain China.

COVID-19 DI S'PURA - 30 MAC

JUMLAH KES BARU: 26 DALAM MASYARAKAT: 0 DIIMPORT: 26 DI DORMITORI: 0 JUMLAH KEMATIAN: 30 JUMLAH KES KESELURUHAN: 60,347 (Hingga 12 tengah hari semalam)

  1. Laporan terkini kes Covid-19 setempat di www.BH.sg
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg