Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Vaksin 'lembaran baru' usaha S'pura perangi Covid-19: PM Lee

Lebih 30 kakitangan Pusat Nasional Bagi Penyakit Berjangkit jadi kumpulan pertama diberi vaksin Covid-19
Dec 31, 2020 | 5:30 AM
31704a2e-c5ed-4df2-bca4-e0067d8735b1
-

PERDANA Menteri Lee Hsien Loong berkata vaksinasi Covid-19 bagi lebih 30 pekerja jagaan kesihatan semalam, menandakan lembaran baru dalam usaha Singapura memerangi pandemik itu.

Menurut Encik Lee, vaksin itu adalah kunci untuk hidup dalam dunia Covid-19 dan akan mengambil sedikit masa sehingga tempoh mencabar ini berlalu.

Singapura telah mula memberikan vaksinasi Covid-19 semalam kepada lebih 30 pekerja jagaan kesihatan Pusat Nasional Bagi Penyakit Berjangkit (NCID).

Mereka merupakan kumpulan pertama di Singapura yang menerima vaksin Pfizer-BioNTech itu.

"Dalam minggu-minggu mendatang vaksin ini akan diperkenalkan kepada lebih banyak institusi jagaan kesihatan. Kita akan memberi vaksin kepada warga emas mulai Februari.

"Selepas itu, kita akan memberinya kepada warga Singapura lain dan penduduk jangka panjang yang layak untuk vaksinasi," kata Encik Lee.

"Vaksin ini merupakan kunci dalam menjalani kehidupan dalam dunia Covid-19, tetapi ia akan mengambil sedikit masa lagi sebelum taufan ini berlalu.

"Dalam masa itu, mari kita kekal berwaspada untuk memastikan diri kita dan orang tersayang sihat dan selamat," tulis Encik Lee dalam satu pos Facebook.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Gan Kim Yong menggesa masyarakat Singapura supaya mendapatkan vaksin terhadap Covid-19 meskipun jumlah kes dalam masyarakat adalah rendah.

Ini kerana penularan seterusnya hanyalah memerlukan satu jangkitan sahaja, kata beliau kepada media selepas lawatan ke NCID, beberapa jam selepas vaksin diberikan kepada kumpulan pertama semalam.

"Di peringkat masyarakat, jika kebanyakkan warga Singapura mendapat vaksin, anda akan menyediakan perlindungan lebih baik kepada seluruh masyarakat. Jika kita semua menerima vaksin maka Singapura sebagai sebuah negara akan terlindung daripada jangkitan.

"Ini akan membolehkan kita juga untuk secara progresif menyambung semula kegiatan ekonomi dan masyarakat seperti biasa, secepat mungkin," kata Encik Gan.

Menurut beliau, vaksinasi juga akan mengelak sistem jagaan kesihatan daripada terlalu dibebani dan membuka jalan untuk Singapura membuka semula laluan pergerakan.

"Pergerakan antarabangsa telah tersekat kerana kawalan sempadan. Dengan vaksinasi, ia akan membolehkan banyak laluan pergerakan ini terhubung semula dan membolehkan Singapura terhubung dengan dunia luar," jelas Encik Gan, yang juga merupakan pengerusi bersama pasukan bertindak berbilang kementerian menangani Covid-19.

Sementara itu, individu pertama menerima suntikan vaksin ialah jururawat staf kanan Cik Sarah Lim, 46 tahun, disusuli dengan Dr Kalisvar Marimuthu, konsultan kanan berusia 43 tahun .

Orang ketiga ialah Encik Mohamed Firdaus Mohamed Salleh, seorang jururawat staf kanan NCID berusia 38 tahun.

"Vaksin ini memberi keyakinan yang saya boleh pulang ke rumah kepada anak-anak dengan selamat," kata bapa empat anak itu.

Laporan lanjut:

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg