Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Visa ‘kita bersaudara’ menanti warga S’pura yang berhasrat menetap di Batam

Jul 14, 2024 | 5:30 AM
Batam
Ketua Dinas (Perkhidmatan) Komunikasi dan Informasi (Diskominfo) Kota Batam, Encik Rudi Panjaitan. - Foto BM oleh KHALID BABA

Warga Singapura yang menjadikan Batam, Indonesia, sebagai rumah kedua mereka menggunakan pelbagai jenis visa bergantung kepada tujuan yang berbeza dan kegunaannya.

Contoh yang jelas adalah seperti usahawan, pemilik International Islamic Casket, Encik Muhamad Akbar Jalit, yang memilih untuk menggunakan visa niaga yang tertakluk di bawah Visa Bisnes.

“Soal visa tidak boleh dipandang ringan kerana saya tidak mahu menghadapi masalah imigresen dan kita perlu ikut undang-undang di sini,’‘ kata Encik Muhamad Akbar.

Bagi mereka yang berkahwin dengan warga Indonesia seperti Cik Nur Asyiqin Jumuto, beliau memohon visa berpasangan di bawah Kartu Izin Tinggal Tetap yang sah selama lima tahun.

Visa ini membolehkan pasangan tinggal bersama di Indonesia tanpa had masa, asalkan perkahwinan mereka diakui sah.

Bagi yang sering berulang-alik dan masih bujang serta menjalankan perniagaan butik pengantin, Encik Wan Huzarman Wan Azlan Shah, hanya mengambil Visa Kunjungan.

Visa ini memberikan kemudahan kepada mereka sama ada ingin meneroka peluang perniagaan, untuk membina keluarga atau hanya bersantai di pulau yang indah itu.

Untuk permohonan visa, penduduk Singapura disarankan agar menghubungi Kedutaan Besar Indonesia di Singapura atau Pejabat Imigresen di Batam.

Ketua Dinas (Perkhidmatan) Komunikasi dan Informasi (Diskominfo) Kota Batam, Encik Rudi Panjaitan, memberitahu Berita Minggu (BM) beliau menjangkakan peningkatan yang stabil dalam jumlah pelawat Singapura ke Batam.

“Pulau ini bersedia untuk menyambut pelawat-pelawat bermutu dan membuka pintunya selebar-lebarnya untuk pelbagai aktiviti termasuk rekreasi, perkahwinan, pelaburan bagi rumah kedua, pelancongan, usaha perniagaan serta memperluas hubungan budaya di bawah prinsip ‘kita bersaudara’,” ujar Encik Rudi.

Beliau menambah, di bawah prinsip asasi manusia, “kami mempunyai tanggungjawab untuk melindungi warga negara asing yang mengunjungi Indonesia termasuk mereka dari Singapura yang melawat Batam”.

“Dalam hal ini, prinsip ‘kita bersaudara’ terpancar. Meskipun negara kita berbeza, terdapat kesamaan yang penting antara Indonesia dengan Singapura.

“Oleh itu, kita harus memelihara dan memperkukuhkan hubungan ini.

“Bagi warga Singapura yang ingin menjadikan Batam sebagai rumah kedua, nasihat saya adalah untuk memahami budaya dan undang-undang tempatan.

“Mereka juga perlu membangun hubungan yang baik dengan penduduk tempatan dan berusaha untuk memperkaya komuniti setempat dengan kehadiran mereka.

“Dengan cara ini, hubungan antara Indonesia dengan Singapura dapat terus berkembang, dan kedua-dua negara akan saling mendapat manfaat daripada kerjasama yang erat ini,” tambah Encik Rudi.

Menurut Encik Rudi kunjungan pelancong ke Batam sebelum pandemik mencapai 1.5 juta hingga 2 juta, dengan 60 peratus dari Singapura.

Setelah pandemik, jumlah kunjungan turun ketara dengan hanya hampir 200,000 kunjungan pada 2022.

Namun pada 2023, terdapat peningkatan 25 peratus dan trend itu berlanjutan pada 2024.

Perangkaan terkini menunjukkan kunjungan pelancong meningkat 11 peratus dengan jumlah keseluruhan sebanyak 296,259 dari Januari hingga Mac 2024.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 58,693 kunjungan adalah dari Singapura.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg