Capella Auto, wakil bagi kereta Alfa Romeo dan Jeep di Singapura, akan menghentikan operasinya menjelang Jun dan menjual baki stok kereta dalam beberapa bulan akan datang.

Bercakap dengan The Straits Times pada 23 Januari, pengarah pemasaran Capella Auto, Cik Tracy Teo, berkata syarikat itu akan terus menawarkan perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan tuntutan waranti untuk pelanggan sedia ada sehingga pertengahan 2025.

Kedua-dua jenama itu masing-masing menjual kurang daripada 25 unit setahun dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.

Pada Disember 2024, Capella Auto telah memindahkan bilik pameran kedua-dua jenama tersebut dari 1 Chang Charn Road di Bukit Merah ke 30 Leng Kee Road, di mana terletaknya bengkel penyelenggaraan.

Alfa Romeo dari Italy dan Jeep, jenama dari Amerika Syarikat, adalah sebahagian daripada kumpulan automotif, Stellantis, yang juga memiliki jenama Perancis seperti Citroen dan Peugeot, serta jenama Jerman, Opel.

Ketika ditanya mengenai masa depan hak pengedaran bagi kedua-dua jenama itu, jurucakap Stellantis, Encik Justin Scott, berkata: 

“Model perniagaan kami tidak berubah. Kami akan memaklumkan jika terdapat sebarang perkembangan.”

Capella Auto hanya mengedar Alfa Romeo dan Jeep, dan merupakan sebahagian daripada Komoco Group, pengedar pelbagai francais yang juga mengedarkan jenama seperti Hyundai, Maserati dan Ferrari.

Sebelum ini dikenali sebagai Chrysler Jeep Automotive Singapore, syarikat itu telah mewakili Jeep sejak 1996. 

Hak pengedaran Alfa Romeo pula bermula pada 1 April 2023, selepas wakil terdahulu selama 18 tahun, EuroAutomobile, menutup bilik pamerannya pada 2022.

Cik Teo menjelaskan bahawa keputusan untuk menghentikan pengedaran kedua-dua jenama itu diambil selepas mempertimbangkan kesesuaian mereka dalam strategi perniagaan keseluruhan Komoco.

Beliau turut menyatakan bahawa persaingan sengit daripada jenama premium Jerman seperti BMW dan Mercedes-Benz, yang mempunyai pelanggan setia yang tidak cenderung untuk beralih jenama, juga menjadi faktor utama keputusan tersebut.

Kakitangan yang terjejas telah ditempatkan semula ke jenama lain di bawah Komoco, dengan seorang jurujual kekal menguruskan pertanyaan.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti