SEORANG wanita berusia 95 tahun antara 11 kes baru jangkitan Covid-19 dalam masyarakat yang disahkan Kementerian Kesihatan pada malam Jumaat (5 Jun).
Wanita itu adalah ahli keluarga kes yang disahkan sebelum ini, seorang wanita, 73 tahun, yang menjangkiti Covid-19 pada 31 Mei.
MOH telah melaporkan 261 kes jangkitan baru hari ini.
11 melibatkan kes jangkitan antara masyarakat; lima warga Singapura, seorang PR dan lima pemegang Permit Kerja.
Daripada 11 kes itu, lapan merupakan kes jangkitan yang tidak menghidap gejala virus (asimptomatik).
Semua 11 kes itu telah menjalani ujian swab untuk mengenal pasti status mereka sewaktu dikuarantin.
MOH berkata lima kes baru melibatkan warga Singapura berkait dengan kes yang disahkan sebelum ini.
Satu kes melibatkan PR adalah seorang lelaki, 49 tahun, yang tinggal di asrama Cassia @ Penjuru.
Dalam kalangan kes lima pemegang Permit Kerja, tiga kes diuji sebelum mereka memulakan kerja dalam khidmat penting, satu kes diuji semasa sebahagian ujian pekerja asing yang tinggal di rumah kedai di Balestier Road manakala siasatan epistemologi bagi baki satu kes masih dijalankan.
Secara keseluruhan, jumlah kes baru antara masyarakat telah meningkat, daripada lima kes sehari dua minggu lalu, kepada enam kes sehari pada minggu lalu.
Sebahagian jumlah besar, iaitu 250 kes jangkitan yang dilaporkan pada Jumaat merupakan pekerja asing yang tinggal di dormitori.
Sehingga kini, jumlah keseluruhan kes jangkitan setempat adalah 37,183 kes dan angka korban adalah seramai 24 individu.
Selain itu, MOH turut mengenal pasti satu kelompok jangkitan baru di asrama di 781 Woodlands Avenue 9.
Dalam pada itu, MOH berkata ia mendapati tiada lagi kes berkait Acacia Home (30 Admiralty Street) selepas dua tempoh inkubasi iaitu 28 hari dan kelompok jangkitan itu kini telah ditutup.
Seramai 305 pesakit telah sembuh dan dibenarkan pulang, sekaligus menjadikan angka pesakit yang telah pulih kepada 24,209 orang.
Seramai 307 pesakit masih di hospital, termasuk empat orang dalam rawatan intensif.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg